Seramai 12 nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara untuk mencuri hasil gamat berputih mata apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kudat, Sabah, semalam.
Dalam operasi jam 8.30 pagi itu, semua warga Vietnam berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun itu ditahan ketika sedang leka memproses hasil gamat yang disyaki ditangkap secara haram di perairan negara ini.
Kumpulan warga asing itu ditahan di atas dua bot berasingan di kedudukan sekitar 13 Batu Nautika Timur Laut, Pulau Tigabu, di sini, selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua bot terbabit menggunakan nombor bot pendaftaran Malaysia.
Katanya, semua pekerja bot nelayan berkenaan juga masuk secara sah ke negara ini berdasarkan kepada dokumen yang dikemukakan.
“Ini adalah kes ketiga yang membabitkan tangkapan gamat di Perairan Kudat pada bulan ini. Bot-bot seperti ini menggunakan peralatan yang diharamkan.
“Malah, lesen yang dikeluarkan kepada mereka juga adalah untuk menangkap ikan menggunakan pukat atau rawai dan bukannya lesen bagi mengambil gamat,” katanya.
Boon berkata, pihaknya akan melakukan siasatan lanjut dan merujuk kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Gamat yang berjaya dirampas kali ini dianggarkan seberat 450 kilogram.
“Kedua-dua bot serta semua warga asing berkenaan ditahan untuk disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan” katanya.
Sehubungan itu Boon berkata, Pihak Maritim Malaysia akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras dan mengurangkan perlanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan untuk menghubungi Malaysian Emergency Respond System (MERS 999) atau Pusat Operasi Maritim Kudat di talian 088-611858, sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung jenayah atau kejadian kemalangan yang berlaku di perairan negara.