Rayuan ibu Nurinsyirah

Ismaiyun bersama Nurinsyirah yang disahkan menghidap kanseer Immature Teratoma tahab 3 dan radang selaput otak. – FOTO Khairull Azry Bidin

KOTA KINABALU : “KAMI memerlukan RM12,000 untuk membeli ubat saja tidak termasuk untuk barang keperluannya seperti lampin pakai buang dan tisu basah,” luah seorang ibu, Ismaiyun Matayasin, 41, yang tidak sanggup melihat keadaan anaknya selepas disahkan menghidap kanser Immature Teratoma tahap tiga dan radang selaput otak.

Ismaiyun berkata, anaknya, Nurinsyirah Nasir, 16, kini terlantar dan dirawat di Wad Neurosurgery, tingkat 10, di Hospital Queen Elizabeth 1(QEH1) sejak beberapa minggu lalu.

“Jika kesihatannya mengizinkan, dia akan diberi rawatan kemoterapi Selasa ini, dan ketika itu ubat berkenaan diperlukan.

“Setakat ini, kami sudah dapat dua botol atas ihsan sumbangan daripada seorang pesakit yang menghidap penyakit sama.

“Kami sedang berusaha mendapatkan dua botol lagi yang mana harga bagi setiap satu botol ubat berkenaan ialah RM6,000,” katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu.

Dia yang berasal dari Kampung Rancangan Klias, Beaufort berkata, dia dan suami tiada pendapatan tetap dan buat masa ini mereka terpaksa menumpukan sepenuh perhatian terhadap penjagaan serta rawatan anaknya.

“Saya cuma suri rumah dan suami bekerja sendiri. Kos rawatan selebihnya ada juga ditanggung kerajaan namun untuk kos pembelian ubat kami terpaksa usahakan sendiri.

“Saya cuma mahu anak saya sihat seperti sedia kala selepas saja dia keluar dari hospital ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berhubung terus kepada Ismaiyun menerusi talian 017-6015648 atau wang sumbangan boleh dimasukkan terus ke akaun Public Bank miliknya menerusi nombor akaun 4923804328.

Dalam pada itu, Ismaiyun berkata, anak ketiganya itu kini dalam keadaan separuh sedar dan tidak dapat mengawal kelakuannya disebabkan penyakit yang dihadapinya.

“Dia akan meracau sendirian malah hilang kawalan sehingga menggigit giginya sendiri dan menyebabkan gigi bawahnya tertanggal.

“Malah kadang-kadang dia seperti berhalusinasi dan kami pun tidak faham apa yang sedang difikir atau dituturkan,”katanya.

Menceritakan lanjut bagaimana anaknya dikesan menghidap penyakit itu, Ismayun berkata, ia bermula ketika anaknya diserang sawan di sekolahnya pada 3 Januari lalu.

“Anak saya tiba-tiba diserang sawan pada awal bulan ini dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Dia kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 2, bagaimanapun dirujuk ke HQE1 sebelum disahkan menghidap radang selaput otak melalui imbasan.

“Kemudian dia diimbas lagi secara keseluruhan termasuk hempedu, buah pinggang, paru-paru dan ovari. Selepas imbasan itu baru dia didapati ada ketumbuhan di ovari sebelah kiri pula.

“Pada mulanya dia disahkan ovarian teratoma, namun selepas buat pembedahan, ketumbuhan itu pecah dan sampelnya dihantar untuk ujian dan hasilnya ketumbuhan itu immatute teratoma (belum matang) tahap tiga,” katanya.

Menurutnya, anaknya seorang yang aktif termasuk sering menyertai sukan di sekolah dan dia tidak sangka dalam tempoh hampir sebulan anaknya kini hanya terbaring di hospital.

“Dia seorang yang periang dan penyayang selain rapat dengan saya. Dia adalah rakan saya dan saya tidak sangka dalam tempoh ini, kami tidak dapat berkomunikasi seperti biasa.

“Saya terkilan juga kerana tidak prihatin setiap kali dia mengadu rasa sakit kepala dan sakit ketika datang haid. Saya menganggap ia sebagai sakit biasa saja,” katanya. – Harian Metro

714