Juruwang tergelak ketika kemuka rayuan ditegur

Tertuduh, Hiyln Lasius didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah mengendalikan premis hiburan melebihi masa ketika hadir di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. – Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Seorang juruwang sebuah pusat hiburan ditegur kerana tergelak ketika membuat rayuan sebelum didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah mengendalikan premis hiburan beroperasi lebih masa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim, menegur tertuduh, Hilyn Lasius, 22, supaya tidak tergelak sebelum diarah meneruskan rayuannya untuk meminta hukuman diringankan.

Mohamad Aizat turut mengingatkan wanita itu yang dia berdepan penjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Sebelum itu, Mohamad Aizat bertanya kepada tertuduh sama ada majikannya sedia membayar denda hukuman bagi pihaknya selepas membuat pengakuan bersalah sebelum diakui tertuduh.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah premis hiburan di KK Taipan, Inanam, dekat sini pada 20 Disember tahun lalu.

Dia didakwa menjalankan pusat hiburan melebihi masa dibenarkan mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Hiburan Awam 1958 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu menahan tertuduh ketika memeriksa premis terbabit dan merampas peralatan muzik digunakan pusat hiburan itu.

Premis berkenaan didapati masih beroperasi walaupun sudah jam 2 pagi, sebelum diperiksa anggota polis yang ketika itu menjalankan Ops Noda.

Tertuduh mengaku baru bekerja dua bulan di premis terbabit, manakala pusat hiburan itu baru beroperasi beberapa bulan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *