Musa dapat pasport untuk rawatan di luar negara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, membenarkan permohonan Tan Sri Musa Aman mendapatkan pasportnya bagi membolehkan bekas Ketua Menteri Sabah itu menjalani rawatan di luar negara.

Hakim Rozina Ayob membenarkan pasport diserahkan kepada Musa mulai 15 Januari dan perlu menyerahkannya semula kepada mahkamah pada 11 Februari depan.

Beliau turut mengenakan beberapa syarat tambahan terhadap Musa, 68, yang diwakili peguam, Francis Ng Aik Guan.

“Tertuduh perlu melapor diri di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura. Tertuduh juga perlu melapor diri di pejabat Kedutaan Malaysia di London setiap tiga hari sekali sepanjang tempoh berada di sana.

“Selain itu, tertuduh perlu memaklumkan kepada mahkamah berhubung alamat penginapan ketika berada di Singapura dan London,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa jaminan itu akan terbatal sekiranya ada pergerakan Musa selain daripada ke dua negara itu.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, untuk ikat jamin tambahan sebanyak RM200,000 dikenakan terhadap Musa dan wang itu akan dikembalikan selepas pasportnya diserahkan semula.

Menjawab soalan peguam, Ridha Abdah Subri yang juga mewakili Musa, mahkamah memerintahkan anak guamnya itu melaporkan diri lebih awal di pejabat Kedutaan Malaysia di London jika ia jatuh pada hari cuti umum.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan pada 5 November tahun lalu, Musa mengaku tidak bersalah atas 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah berjumlah AS$63,293,924 (RM263,460,962.313).

Musa didakwa memperoleh rasuah daripada lapan pemilik syarikat konsesi balak dan dituduh melakukan kesalahan itu di lapan institusi kewangan di Hong Kong serta Singapura antara 20 Disember 2004 hingga 6 November 2008.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum bawah Seksyen 16 akta sama.

Ia membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan jika ia dapat dinilai dalam bentuk wang, atau denda RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *