Juragan dipenjara lima tahun seludup PATI

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Filipina yang juga juragan sebuah bot pam dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, atas kesalahan menyeludup lima pendatang asing tanpa izin (PATI), enam bulan lalu.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad dalam penghakimannya turut memerintahkan denda RM10,000 terhadap Raisaltan Ajis, 26, dan jika gagal membayarnya, hukuman penjara ditambah enam bulan lagi.

Pada 8 Oktober lalu, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan menyeludup lima orang migran, enam bulan lalu.

Berdasarkan fakta kes, kira-kira jam 11 pagi pada 6 April lalu, Raisaltan ditahan di kawasan persisiran Pantai Kampung Terongkongan, Kudat.

Pemeriksaan anggota polis menemui lima penumpang termasuk bayi perempuan berusia 10 bulan, disyaki PATI warga Filipina bersama barangan mereka di dalam bot pam yang dikemudi oleh tertuduh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Kahiruddin Idris manakala Raisaltan diwakili peguam Mohamed Nazim Maduarin.

Sumber : Berita Harian

198