3 Lelaki Miliki Syabu Seberat 73.30 Gram Ditahan Di Lahad Datu

Semua suspek dan syabu yang dirampas di bawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

LAHAD DATU: Tiga lelaki ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 73.30 gram dalam satu serbuan di sebuah pondok di Kampung Ubi, Jalan Kenangan, di sini, semalam.

Semua suspek berusia 27 hingga 48 tahun itu ditahan sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Katanya, pasukan serbuan berjaya menahan tiga lelaki dan hasil siasatan semua suspek terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pasukan serbuan menemukan dadah jenis syabu seberat 73.30 gram yang dianggarkan bernilai RM8,063 bersama suspek di pondok berkenaan.

“Turut dirampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada suspek terbabit positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Semua suspek terbabit kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan, semua suspek terbabit boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 15 kali,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *