
KOTA KINABALU : Semua presiden parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan komitmen penuh bagi memastikan kemenangan gabungan itu pada PRN akan datang.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Menteri Hajiji Noor selepas mengadakan pertemuan tertutup hampir tiga jam bersama lapan pemimpin parti komponen GRS, termasuk Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinannya.
“Saya menghargai kepercayaan dan semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin parti dan sememangnya ini membuktikan bahawa kami akan terus bergerak sehaluan demi kestabilan politik dan pembangunan negeri tercinta.
“GRS akan terus bergerak bersama dengan semangat muafakat dan perpaduan yang jitu untuk memastikan Sabah akan terus melangkah maju, bersatu dalam kepelbagaian dan teguh dalam perjuangan,” kata pengerusi GRS itu dalam kenyataan di Facebook.
Turut hadir pada pertemuan itu, Timbalan Presiden Gagasan Rakyat Masidi Manjun, Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Joachim Gunsalam; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) Pandikar Amin Mulia; dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Anifah Aman.
Pertemuan itu turut dihadiri Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Yong Teck Lee, Presiden Parti Liberal Demokratik Chin Su Phin dan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Liew Yun Fah.
Pada Isnin, Kitingan dilaporkan berkata, gabungan itu mesti menambah baik cara ia beroperasi susulan dakwaan Pandikar bahawa Usno diperlekehkan apabila menuntut kerusi untuk ditandingi pada PRN.
Penggal DUN Sabah semasa akan berakhir pada November, dan PRN yang menjadi medan perebutan 73 kerusi DUN mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubarannya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah