
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) menghantar pulang Pendatang Tanpa Izin (PTI) warganegara Pakistan dan India dari beberapa Depot Imigresen Negeri Sabah ke negara asal.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, proses terbabit dilaksanakan menerusi Program Pemindahan Tahanan PTI melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu ini.
“Pemindahan membabitkan tiga warganegara Pakistan dari Depot Kota Kinabalu pada 28 April diikuti empat warganegara Pakistan dari Depot Sandakan dan tahanan warganegara India manakala seorang warganegara Pakistan dari Depot Tawau pada Rabu.
“Untuk hari ini empat warganegara Pakistan dari Depot Kota Kinabalu menjumlahkan 67 orang warganegara Pakistan dan empat orang
warganegara India berjaya dipindahkan ke negara asal melalui pintu masuk
Sabah setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, jumlah ini menjadikan seramai 4,847 orang warganegara asing yang terlibat dalam program pemindahan dilaksanakan jabatannya.
“Semua PTI berkenaan selesai menjalani hukuman penjara dan memiliki pasport antarabangsa yang sah, membolehkan pemindahan segera dilaksanakan tanpa tempoh penahanan tambahan,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap warganegara asing yang menyalahgunakan pas atau kemudahan imigresen.
“Pendakwaan akan diambil terhadap majikan dan pemilik premis yang menggaji PTI tanpa dokumen sah, selaras dengan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah