
KOTA KINABALU: Gempa bumi kuat dengan jangkaan kekuatan hingga 6.5 skala Richter diramal boleh berlaku di Malaysia, khususnya di daerah Ranau dan Lahad Datu, Sabah.
Pakar geologi Sabah, Prof Dr Felix Tongkul berkata, tidak seperti Myanmar yang berdepan gempa bumi bermagnitud 7.7 skala Richter, Jumaat lalu, Malaysia tidak mungkin berdepan ancaman sebesar itu.
Katanya, gempa bumi melebihi 7.0 skala Richter tidak mungkin berlaku di Malaysia kerana negara ini tidak mempunyai sesar aktif yang panjang seperti Sesar Aktif Sagaing di Myanmar.
Bagaimanapun, beliau berkata gempa bumi bermagnitud hingga 6.5 skala Richter masih boleh berlaku di Malaysia, khususnya di daerah Ranau dan Lahad Datu, dengan kemungkinan gempa bumi besar seterusnya dijangka berlaku di Lahad Datu.
“Kita tidak mempunyai sesar aktif yang begitu panjang seperti di Myanmar. Pada senario paling terukpun mungkin gempa bermagnitud sekitar 6.5 sahaja boleh berlaku di Malaysia khususnya di kawasan Gunung Kinabalu, Ranau dan Lahad Datu.
“Bagaimanapun, gempa bumi mungkin tidak berulang dalam masa terdekat di Gunung Kinabalu, sebab ia perlu masa untuk kumpul tenaga semula (selepas gempa bumi bermagnitud 6.0 pada 5 Jun 2015),” katanya ketika dihubungi, di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada insiden gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter yang membawa kemusnahan besar di Myanmar, selain turut memberi kesan di negara jiran, Thailand boleh berlaku di Malaysia.
Felo Penyelidik Utama Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu bagaimanapun mengingatkan kemungkinan gempa bumi kuat boleh berlaku di kawasan Lahad Datu dalam masa beberapa tahun dari sekarang.
“Ini disebabkan sudah lama tidak berlaku gempa bumi besar di sana. Gempa besar berlaku di sana (Lahad Datu) pada tahun 1923 dan 1976,” katanya.
Gempa bumi bermagnitud 6.2 pada skala Richter direkodkan di Lahad Datu pada 26 Julai 1976 dan 6.3 pada 11 Ogos 1923, menjadikannya antara gempa bumi terbesar pernah berlaku di Malaysia setakat ini dengan gempa besar terkini selepas 1976 berlaku di Ranau dengan magnitud 6.0 skala Richter berpusat di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015.
SumbeR: HMetro
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah