LAHAD DATU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah merekodkan peningkatan sebanyak 79.78 peratus bagi kesalahan tiada lesen memandu di daerah ini bagi tempoh 1 Januari sehingga November tahun ini.
Sebanyak 5,778 kes berkaitan kesalahan tiada lesen memandu direkodkan dalam tempoh berkenaan, berbanding 3,214 kes pada tahun lalu.
Pengarah JPJ Sabah, Mohd Harris Ali berkata sepanjang Januari hingga November 2024, pihaknya mengeluarkan saman sebanyak 11,621 atas pelbagai kesalahan di daerah ini.
Katanya, kesalahan tiada lesen memandu atau ‘Competent Driving Licence (CDL)’ adalah kesalahan tertinggi dengan 49.72 peratus.
“Ini menunjukkan terdapat peningkatan yang ketara dalam jumlah kes pemandu tanpa CDL pada tahun 2024 berbanding tahun 2023.
“Jumlah itu adalah hasil daripada tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan sepanjang tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas Operasi Bersepadu JPJ Lahad Datu di Jalan Silam, di sini, Selasa lepas.
Menurutnya, dalam tempoh 11 bulan ini, JPJ Cawangan Lahad Datu menerima 10 aduan melalui aplikasi MyJPJ berkaitan pelbagai kesalahan lalu lintas.
Katanya, antara aduan yang diterima adalah memotong di sebelah kiri, meletak kenderaan menghalang lalu lintas, gagal mematuhi isyarat lalulintas dan lain-lain kesalahan.
“Tindakan penguatkuasaan berterusan oleh pihak JPJ juga berjaya meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pematuhan undang-undang jalan raya di kalangan pemandu.
“Ini dapat dilihat sehingga November 2024, sejumlah 6,230 orang mendaftarkan diri bagi mendapatkan lesen memandu di institut memandu dan ia merupakan satu perkembangan yang positif,” katanya.
Sementara itu, Mohd Harris berkata, Ops Bersepadu ini bertujuan mengambil tindakan ke atas individu yang melakukan kesalahan lalu lintas.
“Dalam Ops Bersepadu yang dilaksanakan ini, sebanyak 239 kenderaan diperiksa dan 86 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Statistik tindakan penguatkuasaan ini, menunjukkan komitmen JPJ khususnya cawangan Lahad Datu dalam memastikan pematuhan undang-undang jalan raya yang lebih tinggi,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost