SANDAKAN: Seramai 11 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di daerah ini, tengah malam Selasa.
Serbuan menerusi Ops Gegar yang bermula jam 11.24 malam dan berakhir sejam selepas itu turut menahan dua lelaki termasuk seorang warga Vietnam.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi dilancarkan hasil aduan yang diterima daripada orang awam berhubung kehadiran warga asing di pusat hiburan berkenaan.
Katanya, semua individu terbabit dipercayai tidak memiliki dokumen pengenalan diri selain didakwa menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja di premis hiburan berkenaan.
“Dalam operasi ini, seramai 35 individu diperiksa dan 12 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.
“Tahanan membabitkan tiga wanita warga Filipina dan sembilan individu warga Vietnam termasuk seorang lelaki berusia lingkungan 15 hingga 38 tahun,” katanya dalam kenyataan media di sini.
SH Sitti Saleha berkata, semua warga asing yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Sandakan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun pula ditahan atas dakwaan melindungi pendatang tanpa izin (PTI) dan akan disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 56(1)(d) akta yang sama.
“Tindakan ini dijalankan sebagai amaran JIM kepada masyarakat agar tidak melindungi PTI bagi mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.
“JIM juga ingin menegaskan bahawa majikan yang menggaji atau melindungi warga asing tanpa dokumen yang sah akan berdepan dengan tindakan undang-undang,” katanya.
SH Sitti Saleha juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan PTI atau aktiviti yang mencurigakan agar tampil menyalurkan maklumat.
Katanya, operasi yang dijalankan secara berterusan itu adalah usaha untuk membanteras kegiatan melanggar undang-undang mengikut Akta Imigresen.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost