SEMPORNA : Bekas timbalan ketua menteri Sabah mempertahankan tindakan pihak berkuasa yang mengusir komuniti Bajau Laut di Semporna, tetapi mengkritik tindakan membakar rumah yang dirobohkan.
Adun Sulabayan dari Warisan, Jaujan Sambakong berkata tindakan membakar rumah keluarga Bajau Laut bukan amalan baik dan ia memberikan persepsi negatif terhadap Malaysia di mata dunia.
Katanya, tindakan pihak berkuasa merobohkan rumah sementara itu adalah wajar kerana ia dibina dalam Taman-taman Tun Sakaran tetapi ia haruslah dilakukan secara berperikemanusiaan.
“Tetapi tindakan membakar selepas merobohkan itu bukan amalan kita. Perlu ada pendekatan terbaik menyelesaikan perkara itu, walaupun mereka ini bukan warganegara,” katanya.
“Robohkan setinggan itu sangat wajar, tetapi tidak wajar untuk bakar selepas merobohkan.”
Jaujan yang juga naib presiden Warisan berkata, Bajau Laut adalah masyarakat nomad yang sering berpindah randah dan mereka dilindungi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dari segi hak manusia.
Terdahulu, Borneo Komrad mendakwa terdapat satu operasi menyasarkan komuniti Bajau Laut yang tinggal di tujuh pulau di Semporna, dengan satu video menunjukkan anggota penguatkuasa menolak rumah hingga roboh.
NGO itu mendakwa, komuniti itu hilang segalanya selepas rumah dan sampan mereka dibakar beberapa lelaki, dan mereka juga tiada tempat untuk pergi.
Reuters melaporkan pengasas Borneo Komrad Mukmin Nantang sebagai berkata kumpulan lelaki itu tidak dikenali tetapi dipercayai sebahagian anggota penguatkuasa.
Kumpulan hak asasi manusia, Pusat Komas, meminta penjelasan mengenai perkara tersebut, dan berkata mereka harus dipertanggungjawabkan atas pengusiran paksa komuniti tersebut.
Jaujan berkata hak kemanusiaan mereka komuniti Bajau Laut itu harus dihormati dengan memberikan perahu kerana secara tradisi, mereka tinggal atas perahu (di laut). Ini akan menghalang mereka daripada membina tempat perlindungan sementara di pulau-pulau.
Beliau juga mencadangkan Kementerian Pelancongan Sabah mempertimbangkan memelihara gaya hidup berasaskan laut masyarakat Bajau Laut itu, yang kebanyakan mereka tidak mempunyai kewarganegaraan, sebagai satu aset pelancongan.
“Mereka boleh dilatih sebagai ‘dive master’ kerana mereka mampu menyelam selama 10 minit tanpa menggunakan sebarang alat bantuan pernafasan,” katanya.
Katanya, sekiranya perkara itu dimanfaatkan ia mampu mewujudkan situasi menang-menang di antara kerajaan dan masyarakat nomad sekali gus mampu menarik kedatangan pelancong.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost