Isu Hak 40% Sabah: Mahkamah Tangguh Keputusan Rayuan Kerajaan Persekutuan

Mahkamah Rayuan tetap 24 Mei bagi pengurusan kes untuk menentukan tarikh keputusan.

KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan berhubung rayuan kerajaan persekutuan terhadap kebenaran diperoleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) untuk meneruskan semakan kehakiman membabitkan isu hak 40% hasil Sabah.

Panel tiga hakim terdiri daripada Ravinthran N Paramaguru, Nazlan Ghazali, dan Choo Kah Sing menetapkan 24 Mei untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh keputusan selepas mendengar hujah semua pihak.

Kerajaan persekutuan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, pada 11 Nov 2022, yang memberi kebenaran kepada SLS meneruskan semakan kehakiman berhubung perkara itu bagi memaksa hasil persekutuan diperoleh daripada negeri itu dipulangkan seperti peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) serta Peguam Persekutuan V Krishna Priya @ Venugopal dan Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir hadir bagi pihak kerajaan.

Terdahulu, Shamsul berhujah bahawa 40% pemberian khas di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabar di mahkamah kerana ia melibatkan pertimbangan kewangan dan politik yang merupakan pertikaian tak boleh diadili.

Panel itu turut membenarkan permohonan kerajaan Sabah, yang diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Tengku Fuad Tengku Ahmad, untuk mencelah dalam rayuan tersebut.

AGC tidak membantah permohonan itu.

SLS yang diwakili peguam David Fung, Jeyan T M Marimuttu, dan Janice Junie Lim membantah atas alasan kerajaan negeri Sabah tidak mempunyai hak untuk didengar kerana rayuan itu hanya membabitkan isu mengenai kebenaran.

Bagaimanapun, Fuad berhujah bahawa hak kerajaan Sabah terhadap kerajaan persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan akan terjejas secara negatif jika ia dikecualikan daripada pendengaran hari ini.

“Jika kerajaan negeri Sabah tidak mencelah hari ini maka terdapat risiko bahawa haknya untuk mencabar kerajaan persekutuan berhubung peruntukan pemberian khas 40% boleh dihapuskan tanpa didengari,” katanya.

Ketika ditemui pemberita, Fuad berkata pemberian itu hanya boleh diperoleh dengan persetujuan kedua-dua kerajaan dan harus mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan persekutuan, keperluan Sabah, dan kecukupan pembiayaan perkhidmatan negeri seperti jalan raya, air serta elektrik.

Beliau berkata, kerajaan Sabah terus mempergiat usaha untuk mendapatkan pemberian khas 40 itu melalui prosedur ditetapkan dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Tiada keperluan untuk SLS membuat sebarang semakan kehakiman kerana kerajaan negeri Sabah dengan kerjasama kerajaan persekutuan sudah melakukan semakan. Justeru itu, kami melihat tindakan mahkamah ini sebagai sesuatu yang tidak perlu dilakukan,” katanya.

Pada 11 Nov 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Ismail Brahim membenarkan permohonan SLS bagi mendapatkan kebenaran bagi meneruskan semakan kehakiman bahawa ia mempunyai locus standi untuk berbuat demikian kerana ia adalah litigasi berkepentingan awam.

AGC telah memperoleh perintah penangguhan bagi menghalang Mahkamah Tinggi mendengar merit kes itu sementara menunggu rayuan.

SLS memfailkan semakan kehakiman itu pada 2022 bagi mengetepikan warta kerajaan persekutuan mengenai geran tahunan sebanyak RM125.6 juta untuk Sabah atas dakwaan ia melanggar hak hasil negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *