Pelajar Sabah Menang Anugerah Emas Pertandingan Menulis Esei Antarabangsa

KENINGAU : Esei hasil tulisan Nurul Nadirah Naquyyah, 17, pelajar jurusan Teknologi Elektrik, dari Kolej Vokasional Keningau telah diiktiraf dengan anugerah emas melalui pertandingan The Queen’s Commonwealth Essay Competition 2023 yang dianjurkan secara tahunan oleh Royal Commonwealth Society yang berpusat di United Kingdom.

Pertandingan penulisan esei paling berprestij di dunia itu dikategorikan kepada dua kategori iaitu kategori senior bagi mereka yang berumur 14 sehingga 18 tahun dan kategori junior bagi mereka yang berusia 14 tahun ke bawah.

Tema pertandingan bagi tahun ini adalah Commonwealth yang dipimpin oleh belia. Nadirah menerima sijil anugerah emas tersebut melalui email dari penganjur yang turut menyampaikan ucapan tahniah.

Nadirah menulis esei Bahasa Inggeris tersebut berdasarkan subtema pertama kategori senior iaitu menulis teks ucapan raja negara Britain yang ditujukan untuk orang muda di persidangan antarabangsa berkenaan dengan kemahiran membuat keputusan.

Nadirah mengulas beberapa isi penting yang menyokong pendapat utamanya iaitu memaksimakan penglibatan golongan belia dalam proses membuat keputusan bagi dasar-dasar kerajaan.

Dia menyatakan bahasa kerja komuniti dan pergerakan bersifat akar umbi mampu membantu golongan belia mencapai potensi penuh mereka serta mengasah kemahiran mereka memimpin.

Dia juga mengutarakan bertapa pentingnya bagi golongan belia untuk berasa bahawa mereka dihargai oleh negara mereka apabila suara dan buah fikiran mereka didengari dan diperakui.

Ini boleh memupuk rasa bertanggungjawab mereka sebagai warganegara. Selain itu, Nadirah juga menekan kepentingan mengamalkan sistem yang adil dan saksama bagi semua pihak untuk mewujudkan masyarakat yang sentiasa berkerjasama dan inklusif.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin Bin Akup, berasa sangat gembira dengan pencapaian itu kerana kemahiran menulis esei adalah salah satu kemahiran yang membantu pelajar berfikiran secara kritis, belajar mengumpul maklumat dan menganalisanya serta kemahiran bahasa.

Dia berharap agar ini dapat memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain di kolej itu untuk menceburi bidang penulisan.

Nadirah berasa teruja apabila dia mendapat tahu dia telah mendapat anugerah emas kerana standard pertandingan tersebut yang tinggi dan penyertaan yang banyak dari negara-negara Komanwel yang menjadikan pertandingan ini sengit dan mencabar.

Pencapaian ini mencetus motivasi dia untuk terus menulis artikel dan esei yang berkualiti.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *