Syarikat Penerbangan Tragedi Double Six Beroperasi Secara Haram, Kata Laporan Australia

Nahas pesawat terhempas pada 1976 dikenali sebagai tragedi Double Six mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens dan 10 yang lain.

KOTA KINABALU : Syarikat penerbangan yang terbabit dalam nahas pesawat pada 1976 meragut nyawa ketua menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens dan 10 yang lain sebenarnya beroperasi secara haram, menurut laporan siasatan tribunal Australia mengenai kemalangan itu.

Laporan itu berkata, Sabah Air menghantar draf manual operasi syarikat itu pada akhir 1975 tetapi tidak pernah diluluskan oleh Jabatan Penerbangan Awam.

“Berhubung perkara itu, Sabah Air beroperasi secara haram,” kata laporan itu yang disiarkan kerajaan Australia hari ini.

Menurut tribunal itu, beberapa fakta yang ditemui sepanjang proses siasatan mendedahkan tidak hanya berlakunya “operasi yang lemah” oleh Sabah Air tetapi “kegagalan di pihak Jabatan Penerbangan Awam” dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pihak berkuasa yang memberi kelulusan.

“Maklumat ini diperincikan sebagai relevan dengan insiden ini kerana jika dilihat secara jelas, satu insiden pasti berlaku sama ada cepat atau lambat,” katanya.

Kemalangan itu yang dikenali sebagai “tragedi Double Six” turut meragut nyawa menteri negeri Salleh Sulong, Chong Thien Vun, dan Peter Mojuntin.

Nahas berlaku apabila pesawat GAF Nomad yang dikendalikan syarikat Sabah Air terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.

Susulan kemalangan itu, pembuat GAF Nomad dari Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan bagi membuktikan nahas itu bukan berpunca daripada isu mekanikal.

Laporan itu berkata, pasukan siasatan GAF dan Jabatan Pengangkutan menyiapkan laporan awal untuk dibentangkan menteri persekutuan di mesyuarat Jemaah Menteri.

Laporan awal menyatakan punca kemalangan adalah tindakan juruterbang “membenarkan pesawat membawa beban melebihi had pusat graviti, dan keadaan itu menyebabkan dia hilang kawalan dan terhempas ketika mahu mendarat”.

Susulan mesyuarat Jemaah Menteri, menteri berkaitan enggan mengeluarkan sebarang kenyataan media tetapi bersetuju GAF boleh memberi nasihat kepada pelanggan dan operator bahawa hasil siasatan menjamin struktur integrity pesawat.

Bagaimanapun, pegawai Australia tidak dibenarkan membuat sebarang pendedahan mengenai siasatan tribunal itu.

“Menteri menggesa satu laporan lengkap mengenai tragedi pada 30 Jun 1976, dengan menjangkakan kerajaan Malaysia akan menghebahkan penemuan tersebut,” kata tribunal itu.

“Kami tidak yakin laporan itu akan disiarkan dalam tempoh waktu tersebut.”

Penulis laporan tribunal itu percaya pengetahuan terperinci mereka terhadap pesawat Hound membolehkan mereka membantu siasatan dan mempercepatkan satu siri kesimpulan yang logik.

“Ini terutama sekali dengan kegagalan untuk menemui sistem kawalan penerbangan ketika pemeriksaan bangkai pesawat, kira-kira beban, dan pertimbangan operasi dan pengendalian,” kata laporan itu.

Dalam laporan itu, dua lagi juruterbang pesawat Nomad Sabah Air yang ditemuduga berkata, “mereka tidak pernah peduli untuk secara fizikal membuat kiraan beban dibawa pesawat” sebelum berlepas.

Sebaliknya, menurut laporan itu juruterbang itu berkata, mereka hanya melihat lokasi bagasi berada di dalam tempat penyimpanan pesawat.

“… dan sekiranya ia nampak memuaskan, mereka akan berlepas”. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *