Kenapa Benarkan Sabah Air Beroperasi Secara Haram, Soal Bekas Ahli Parlimen

KOTA KINABALU : Seorang bekas Ahli Parlimen menggesa kerajaan persekutuan dan Sabah menjelaskan peranannya dalam membenarkan Sabah Air, syarikat penerbangan terlibat dalam nahas Double Six, beroperasi secara haram.

“Pendedahan (Sabah Air beroperasi secara haram) dalam laporan Australia amat mengejutkan. Ia menimbulkan lebih banyak persoalan,” kata Darell Leiking kepada FMT.

Bekas Ahli Parlimen Penampang itu mengulas laporan didedahkan oleh Government Aircraft Factories (GAF), pengeluar pesawat malang itu dari Australia.

Laporan dikeluarkan hari ini, mendapati Sabah Air pada dasarnya beroperasi secara haram semasa nahas pada 6 Jun 1976.

Laporan itu berkata, Sabah Air menyerahkan draf operasi manual menjelang akhir 1975, tetapi tidak pernah diluluskan oleh Jabatan Penerbangan Awam ketika itu.

“Perincian penting ini tidak disebut dalam laporan Malaysia mengenai nahas itu. kenapa? Kerajaan persekutuan mesti menjelaskan.

“Kerajaan Sabah juga perlu menjelaskan status Sabah Air semasa nahas kerana Sabah Air adalah agensi di bawah kerajaan negeri.

“Kedua-dua, kerajaan persekutuan dan negeri mempunyai tanggungjawab undang-undang terhadap keluarga mereka terkorban dalam nahas itu,” kata Leiking.

Beliau juga berkata, keluarga itu harus mempertimbangkan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan ganti rugi terhadap kerajaan negeri jika laporan oleh warga Australia itu telah dibuktikan.

Menurut laporan Malaysia yang didedahkan awal bulan ini, juruterbang pesawat itu mempunyai sejarah prestasi buruk dalam penerbangan dan pesawat itu terlebih muatan.

Insiden itu meragut nyawa ketua menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens, menteri negeri Salleh Sulong, Chong Thien Vun dan Peter Mojuntin serta tujuh lagi selepas pesawat GAF Nomad yang naiki terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.

Siasatan telah dilancarkan oleh pihak berkuasa Malaysia, GAF dan Jabatan Pengangkutan Australia, tetapi penemuan mereka tidak pernah didedahkan sehingga awal bulan ini. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *