KUALA LUMPUR : Perbicaraan rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette Samad, mungkin ditangguhkan lagi.
Bung, bekas pengerusi Felcra dan Zizie diperintah membela diri atas tuduhan rasuah dan bersubahat terhadap pelaburan Felcra bernilai RM150 juta.
Peguam mereka, Teh See Khoon, berkata Mahkamah Rayuan tidak dapat menetapkan tarikh pendengaran untuk rayuan pasangan itu kerana Mahkamah Tinggi belum memuktamadkan rekod rayuan.
“Kami tidak boleh memfailkan petisyen rayuan tanpa penghakiman Mahkamah Tinggi dan nota prosiding,” Teh memberitahu FMT selepas pengurusan kes dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Khairi Haron.
Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Fadly Zambry mewakili pihak pendakwaan.
Satu lagi pengurusan kes akan diadakan pada 22 Mei ini.
Teh berkata, pihak-pihak juga akan memaklumkan perkembangan terbaru kepada Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob, yang sedang mendengar perbicaraan, apabila kes itu disebut pada 27 Mac.
Bulan lalu, Rozina memperuntukkan 13 hari pada Jun dan Julai untuk Bung, Zizie dan empat lagi saksi pembelaan untuk memberi keterangan.
Rozina berkata, beliau menetapkan tarikh itu memandangkan kes terbabit sudah lama tertangguh.
Beliau sebelum ini memberi tempoh 14 hari untuk meneruskan perbicaraan, bermula 26 Sept tahun lalu, selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pasangan itu.
Bagaimanapun, perbicaraan tidak dapat diteruskan kerana Mahkamah Tinggi menangguhkan semua prosiding sementara menunggu permohonan pasangan itu untuk semakan terhadap perintah Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri.
Bung dan Zizie ke Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak usul mereka untuk semakan keputusan Rozina.
Hakim Azhar Abdul Hamid memutuskan mereka tersilap dalam memfailkan usul yang disokong oleh afidavit, sambil berkata pasangan itu hanya perlu menghantar surat kepada Mahkamah Tinggi meminta semakan.
Bung menghadapi dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai suapan atas kapasitinya sebagai pengerusi Felcra.
Dia didakwa berbuat demikian untuk mendapatkan kelulusan Felcra bagi membuat pelaburan unit Public Mutual RM150 juta pada Jun 2015.
Zizie menghadapi tiga pertuduhan bersubahat dengannya. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost