Penduduk Berarak Tuntut Penjelasan Isu Tanah

Hishamuddin (tengah) mengetuai perarakan untuk menghantar surat kepada Bernard (kanan) hidi pekarangan Pejabat JTU Sabah, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU : Kira-kira 500 penduduk dari tiga daerah berarak sejauh 500 meter bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) untuk menghantar surat memohon penjelasan mengenai status tanah adat di Pejabat Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) di sini, pada Selasa.

Surat bagi memohon penjelasan mengenai geran komunal membabitkan enam kampung di Sapulut Nabawan, status permohonan tanah di Kampung Montoki, Ranau dan isu pembatalan permohonan tanah tanpa sebab di Madai Baturung, Kunak.

Ibin Angkasang, 52, dari Kampung Bigor Mukim Sapulut berkata, kehadiran mereka di pekarangan Pejabat JTU itu adalah untuk mengetahui status tanah mereka yang diusahakan sejak lebih 30 tahun lalu.

Ibin

“Kami hanya ada geran komunal tetapi telah dimansuhkan semasa kerajaan lalu kemudian kami diberi geran anak negeri (NT), tetapi pada 2013 ada syarikat yang mendakwa tanah itu adalah milik mereka sehingga menyebabkan kami tiada hak terhadap tanah itu.

“Sebahagian tanah penduduk kampung termasuk tanah yang saya usahakan sejak tahun 1985 mempunyai pelbagai tanaman termasuk kelapa sawit dan getah sebelum dimusnahkan oleh pihak syarikat dan menyebabkan kami tidak dapat mengambil hasilnya lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan JTU, di sinI.

Ibin berkata, kehadiran mereka itu adalah untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak JTU selain berharap mendapat perhatian daripada kerajaan negeri mengenai tanah adat berkenaan.

Penduduk Kampung Montoki Mesilau Kundasang, Leef @ Anwar Malandi, 53, pula memaklumkan bahawa lebih 80 hektar tanah telah diusahakan tetapi sehingga kini belum mendapat sebarang geran walaupun permohonan telah dibuat sejak 1989.

Bagaimanapun, pada 2001 ada pihak syarikat telah datang ke kampung mereka dan mendakwa bahawa tanah itu adalah milik syarikat.

“Kami usahakan tanah itu sudah lama iaitu sejak 1984 dengan tanaman sayur tanah tinggi dan ada pengesahan daripada Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT).

“Kali terakhir permohonan dibuat pada 1993 tetapi sehingga kini belum ada sebarang jawapan ataupun ia masih dalam proses dan akhirnya tanah itu sudahpun dituntut oleh syarikat lain,” jelasnya.

Anwar berkata, susulan dakwaan daripada syarikat itu terdapat kerja mengukur tanah dilakukan selain penduduk dihalau serta menerima pelbagai ancaman.

Anwar bersama Hishamuddin ketika ditemui pemberita selepas penyerahan surat di JTU Sabah di Kota Kinabalu.

“Pihak syarikat memaklumkan kepada kami bahawa mereka mempunyai geran dan kami telah dihalau. Tetapi kami bertahan walaupun menerima pelbagai ancaman daripada pihak syarikat berkenaan,” katanya.

Anwar berkata, tanah itu secara keseluruhan adalah seluas 200 ekar dan setiap penduduk hanya tuntut kira-kira dua ekar saja.

“Tujuannya adalah untuk menuntut tanah yang diusahakan sejak lebih 30 tahun dan ia tidak akan membuatkan kami kaya tetapi ia adalah untuk generasi akan datang, cuma dua ekar saja, bukan 15 ekar atau 100 ekar pun,” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim yang mengetuai penyerahan surat itu berharap MHO dan penduduk kampung yang terlibat mendapat respons daripada JTU dalam tempoh 14 hari.

“Kita telah dimaklumkan oleh Pengarah JTU, Datuk Bernard Liew Chau Min bahawa jawapan secara bertulis akan diberikan dan beliau bersetuju untuk hadir ke kampung yang terlibat.

“Jadi saya akan jemput pengarah sendiri kerana ia perlu ada sesi dua hala dan jangan biarkan penduduk kampung tertanya-tanya mengenai isu status tanah penduduk.

“Selepas 14 hari jika tiada jawapan, tindakan seterusnya ialah kita akan berjumpa dengan pihak lebih atas iaitu Ketua Menteri sebagai pihak yang tertinggi di Sabah,” katanya.

Bernard ketika ditemui pemberita memaklumkan bahawa telah menerima tiga surat membabitkan penduduk dari tiga daerah berkenaan.

“Hari ini saya terima surat membabitkan tiga kes. Kes ini kami akan beri jawapan namun perlu dirujuk dari sudut perundangan.

“Saya akan aturkan perjumpaan dengan mereka bagi memberikan penjelasan tentang kes ini kerana ia melibatkan pihak lain,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, ada beberapa kes memerlukan penelitian lebih lanjut selain ada sebahagian masih dalam siasatan. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *