Sambungan Elektrik Haram, SESB Rugi RM20 Juta Setahun

Pasukan penguat kuasa SESB menjalankan kerja memotong sambungan elektrik haram di Kampung Numbak, Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengalami kerugian kira-kira RM20 juta setahun akibat aktiviti penyambungan elektrik secara haram di Sabah dan Labuan.

Pengurus Besar Pembahagian SESB, Addie Ahmad berkata, 193 kawasan setinggan di seluruh Sabah dan Labuan yang dianggarkan mempunyai 31,000 rumah dipercayai mendapat bekalan elektrik secara tidak sah.

Malah katanya, 25% gangguan bekalan elektrik berpunca daripada kegiatan itu.

“Oleh itu, hari ini kita melaksanakan operasi bersepadu bagi membanteras penyambungan haram di Kampung Numbak, salah satu koloni setinggan yang dikenal pasti melakukan penyambungan haram membabitkan hampir 1,000 rumah,” katanya selepas operasi itu tamat.

“Operasi dilaksanakan bukan saja untuk memastikan SESB tidak mengalami kerugian, tetapi faktor keselamatan dititikberatkan berikutan penyambungan tidak sah ini melibatkan pendawaian tidak mengikut piawaian pihak kawal selia serta struktur dan susun atur rumah tidak selamat.”

Beliau berkata, operasi itu juga bagi mengelak isu keselamatan, termasuk sentuhan wayar tidak bersalut dan litar pintas akibat beban elektrik melampau disebabkan penyambungan haram.

Katanya, tujuh kematian direkodkan sejak 2016 hingga kini.

Mengulas operasi hari ini, Addie berkata, secara keseluruhannya ia berjalan lancar disebabkan kebolehan pasukan penguat kuasa, walaupun ada penduduk cuba menghalang pemotongan wayar di rumah mereka.

Dalam perkembangan lain, katanya, antara faktor permohonan pemasangan meter elektrik tidak diluluskan termasuk tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah, status tanah, keadaan muka bumi serta keadaan rumah.

Susulan itu, SESB memperkenalkan projek perintis melantik pengedar tenaga bebas (IPD) untuk membekalkan elektrik ke penempatan setinggan menggunakan konsep meter prabayar. Projek itu kini dilaksanakan di Kampung Forest, Sandakan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *