Barang Kes Op Daulat Tanduo Dilupuskan

Jalil (tengah) bersama Zaini (dua kanan) dan pegawai melihat antara barang kes Op Daulat yang diserahkan kepada Muzium PDRM Sabah.

LAHAD DATU : Sebanyak 329 barang kes membabitkan Op Daulat 2013 dilupuskan secara kekal manakala 483 barang lagi diserahkan kepada Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, tindakan itu diambil berikutan keputusan panel hakim Mahkamah Persekutuan yang membenarkan sebahagian barang kes berkenaan disimpan sebagai bahan sejarah.

Zain (tengah) menyaksikan upacara penyerahan barang kes antara Jalil (kiri) dan Jauteh (kanan) di IPD Lahad Datu.

Katanya, barang kes itu termasuk senjata api dan peluru, pisau, parang, dokumen merangkumi pengenalan diri, risalah dan surat serta pelbagai barangan lain.

“Sebelum ini, JSJ menerusi Jabatan Peguam Negara mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan agar semua rampasan dan barang kes Op Daulat diserahkan kepada PDRM untuk simpanan bahan sejarah.

“Pada 15 Januari 2018, panel hakim Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan membabitkan 812 eksibit dan barang kes Op Daulat dilupuskan dan sebahagian diserahkan kepada Muzium PDRM,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelupusan dan penyerahan barang kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Zaini Jass dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun selaku wakil Muzium PDRM Sabah.

Abdul Jalil berkata, selain itu, wang Peso bernilai 341,000 (RM27,000) turut diserahkan kepada Jabatan Perbendaharaan Negara mengikut arahan Mahkamah Majistret Lahad Datu yang dibuat pada 13 April 2013.

“Pada hari ini kita lengkap dengan penyerahan barang kes dan pelupusan barang kes yang kekal mahupun yang bukan kekal akan menjadi satu ingatan dan tetapan kepada generasi-generasi akan datang.

“PDRM akan memastikan keselamatan ini akan terjamin sehingga generasi-generasi yang akan datang,” katanya.

Sementara itu, Jauteh berkata, kerajaan Sabah sudah meluluskan dua peruntukan iaitu Muzium PDRM Sabah dan membina tugu peringatan Op Daulat.

“Kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta untuk muzium yang terletak di kawasan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sabah, Kota Kinabalu.

“Bangunan ini sudah dibina sejak zaman penjajahan British pada 1953, di samping kerajaan negeri juga memperuntukkan RM150,000 untuk pembinaan tugu berkenaan di Kampung Tanduo,” katanya.

Jauteh berkata, kedua-dua projek ini sedang berjalan dan dijangka siap pada Mac depan, sempena memperingati 10 tahun insiden berkenaan.

Insiden Op Daulat menjadi lipatan sejarah di negara ini apabila lebih 200 pengganas menceroboh masuk ke Kampung Tanduo, di sini.

Peristiwa berdarah itu memuncak apabila berlaku kejadian tembak menembak antara kumpulan penceroboh dan pasukan keselamatan sehingga mengorbankan lapan anggota dan pegawai PDRM. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *