Waris Sultan Sulu Desak Tuntutan USD15 Bilion, Sasar Aset Malaysia Di Belanda

Kerajaan Malaysia menghentikan bayaran pampasan tahunan itu selepas satu kumpulan dipercayai penyokong Kesultanan Sulu menyerang Lahad Datu, Sabah pada 2013.

KUALA LUMPUR : Waris Kesultanan Sulu memohon kebenaran di mahkamah Belanda untuk merampas aset Malaysia di negara itu bagi menguatkuasakan perintah ganjaran timbang tara USD15 bilion (RM70 bilion) yang patut dibayar oleh kerajaan Malaysia kepada mereka.

Petisyen di Mahkamah Rayuan The Hague itu menyebabkan pertikaian perjanjian tanah era kolonial yang semakin berlarutan dan mengancam aset luar negara kerajaan Malaysia dan syarikat milik kerajaan.

Kerajaan Malaysia yang tidak mengiktiraf tuntutan waris itu, tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas berhubung petisyen itu.

Sebuah mahkamah timbang tara di Perancis pada Feb lalu mengarahkan Malaysia membayar USD15 bilion – anugerah timbang tara kedua terbesar dalam rekod – kepada waris Sultan Sulu terakhir.

Malaysia berjaya mendapatkan penangguhan sementara menunggu rayuan tetapi anugerah itu tetap boleh dikuatkuasakan di luar Perancis di bawah perjanjian PBB berkaitan timbang tara antarabangsa.

Waris kesultanan Sulu yang pernah menguasai wilayah dari Selatan Filipina hingga sebahagian kepulauan Borneo, memohon mahkamah di Belanda mengiktiraf dan menguatkuasakan anugerah timbang tara itu.

Waris itu berhasrat untuk mendapatkan “hak terhadap aset Malaysia yang berada di Belanda,” menurut salinan petisyen kepada mahkamah yang dikongsi peguam.

Bagaimanapun, Reuters belum dapat mengesahkan permohonan itu dengan pihak berkuasa Belanda.

“Permohonan di Belanda ini akan disusuli dengan beberapa tindakan penguatkuasaan dan pelbagai penghakiman,” kata peguam Britain, Paul Cohen yang mengetuai kumpulan peguam waris berkenaan.

“Ini mungkin termasuk aset Malaysia yang pemilikannya secara langsung atau tidak di Belanda atau di tempat lain,” kata Cohen melalui email kepada Reuters.

Petisyen itu tidak menyatakan secara terperinci aset berkenaan.

Beberapa syarikat besar Malaysia beroperasi di Belanda, termasuk Petronas dan Sime Darby Plantations.

Syarikat-syarikat itu tidak mengeluarkan kenyataan segera mengenai petisyen Belanda ketika dihubungi oleh Reuters.

Pada Julai lalu, dua anak syarikat Petronas di Luxembourg dirampas oleh mahkamah, sebahagian daripada usaha waris berkenaan untuk menguatkuasakan anugerah tersebut.

Petronas, yang menyifatkan rampasan Luxembourg sebagai “tidak berasas”, berkata ia akan mengambil langkah undang-undang untuk menghalang percubaan rampasan akan datang di 44 negara di mana ia mempunyai aset dan mengehadkan dana syarikat yang disimpan di luar negara.

Pertikaian itu adalah mengenai perjanjian yang ditandatangani pada 1878 antara dua kolonial Eropah dan Sultan Sulu untuk menggunakan wilayahnya di Malaysia masa kini – perjanjian yang dihormati oleh Malaysia selepas kemerdekaan sehingga 2013, membayar waris Kesultanan Sulu kira-kira AS$1,000 setahun.

Putrajaya menghentikan bayaran itu selepas satu kumpulan dipercayai penyokong Kesultanan Sulu menyerang Sabah.

Tindakan itu menyebabkan waris Kesultanan Sulu memfailkan tuntutan di mahkamah timbang tara dengan mendakwa Malaysia melanggar perjanjian berkenaan. – Reuters / FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *