Pengadu Enggan Lapor Ebit Lew Di Tenom, Bimbang Kes Diketahui, Mahkamah Diberitahu

Ebit Lew keluar dari kamar mahkamah selepas perbicaraan ditangguhkan petang tadi.

TENOM: Saksi pendakwaan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret yang pengadu kes itu membuat laporan di Kuala Lumpur, bukan di daerah ini kerana bimbang ia diketahui penduduk di situ.

Pakar motivasi, Mohd Fairuz Abu yang menjadi saksi pertama pihak pendakwaan, berkata pengadu turut memberitahunya bahawa dia takut membuat laporan di Balai Polis Tenom kerana terdapat saudaranya bertugas di sana.

“Saya tahu, kerana (pengadu) memberitahu saya yang Tenom ini kecil dan ramai orang boleh tahu kalau dia buat ‘report’ (laporan), report di Bukit Aman bertujuan untuk keselamatan beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pemeriksaan balas peguam mewakili Ebit, Kamarudin Mohmad Chinki yang bertanya kepada saksi sama ada dia tahu sebab pengadu membuat laporan di Balai Polis Bukit Aman.

Bagaimanapun, Fairuz kemudian tidak setuju dengan cadangan Kamarudin, yang mencadangkan alasan diberikan pengadu bermaksud semua balai polis di Sabah adalah kecil dan semua orang boleh tahu sekiranya laporan dibuat.

Kamarudin: Adakah kamu bermaksud, semua balai polis di Sabah ini kecil dan semua orang boleh tahu sekiranya (pengadu) membuat ‘report’ termasuk ibu pejabat polis Sabah di KK (Kota Kinabalu).

Fairuz: Tidak setuju

Kamarudin: Kenapa tidak setuju?

Fairuz: Kerana ia permintaan (pengadu) sendiri, lagi pun beliau memaklumkan di Balai Polis Tenom, ada saudaranya, jadi beliau takut untuk melakukan (membuat laporan) di sana.

Kamarudin: Adakah balai polis di Sabah semua keluarganya ada?

Fairuz: Saya tidak pasti.

Sementara itu, Fairuz turut tidak bersetuju dengan Kamarudin yang mencadangkan pengadu membuat laporan polis di Bukit Aman kerana mahu berjumpa dengannya untuk berbincang, sebelum laporan dibuat.

Bagaimanapun, Fairuz bersetuju dengan Kamarudin yang dia ada berjumpa dengan pengadu pada 7 Ogos tahun lalu ketika pengadu membuat laporan polis di Bukit Aman.

Ebit, 37, menghadapi 11 pertuduhan, antaranya didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun dengan menghantar gambar dan perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lalu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain Kamarudin, turut mewakili Ebit dalam kes itu ialah Ram Sigh, manakala pihak pendakwaan dibarisi Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria, Nor Azizah Mohamad dan Nur Masrin Amalia.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani bersambung esok dengan beberapa lagi saksi termasuk pendakwah Firdaus Wong Abdullah dan pengadu sendiri dijangka memberikan keterangan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *