Ebit Lew ‘Orang Besar’, Pengadu Takut Buat Laporan, Mahkamah Diberitahu

Ebit Lew (tengah) tiba di Mahkamah Majistret Tenom bersama peguamnya.

TENOM: Saksi pendakwaan kes gangguan seksual pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew memberitahu mahkamah pengadu kes itu pada mulanya enggan membuat laporan polis kerana menganggap dirinya “orang kecil” manakala tertuduh sebagai “orang besar”.

Pakar motivasi, Mohd Fairuz Abu yang menjadi saksi pertama pihak pendakwaan berkata, dia sebelum ini menerima puluhan mesej menerusi WhatsApp daripada individu yang mengadu menjadi mangsa gangguan seksual termasuk dilakukan Ebit.

“Salah seorang individu yang hubungi saya adalah (identiti tidak boleh didedahkan) pada 26 Julai 2021, jam 11.04 malam, ada juga mangsa lain yang mengadu menjadi mangsa gangguan seksual Ebit Lew tetapi mereka tidak meletakkan nama kerana takut dan tidak berani tampil ke depan.

“Pada awalnya (identiti pengadu tidak boleh didedahkan) bertanya siapa individu yang saya maksudkan dalam ‘posting’ (di Facebook), bila saya menyebut berkaitan Ebit Lew, maka pengadu terus berkongsi tangkap layar perbualan Ebit dengan beliau…juga menghantar gambar kemaluan yang diberikan oleh Ebit melalui WhatsApp,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Fairuz memberitahu mahkamah, dia kemudian menasihatkan pengadu membuat laporan polis.

“Saya katakan kepada (pengadu), jika ruang dan peluang ini tidak digunakan untuk membuat laporan polis, maka bayangkan berapa ramai lagi yang akan diganggu secara seksual oleh Ebit Lew,” katanya.

Jawapan saksi itu kemudian dibantah peguam Ram Singh yang mewakili Ebit kerana berpendapat jawapan “bayangkan berapa ramai lagi yang akan diganggu oleh Ebit Lew” bersifat tuduhan tidak mempunyai bukti.

“Jawapan itu tidak boleh direkodkan kecuali dia ada bukti laporan polis,” katanya.

Bagaimanapun, Zahida membalas bantahan Ram Singh dengan menyatakan apa dikatakan saksi adalah perbualan antara dia dengan pengadu.

Fairuz memberitahu mahkamah lagi, laporan polis akhirnya dibuat oleh tertuduh dan dia sendiri juga telah dipanggil untuk memberi keterangan.

“Saya juga dipanggil untuk jadi saksi bagi diambil kenyataan oleh polis dan telefon (jenis) OnePlus saya juga telah diberikan kepada polis,” katanya.

Ebit, 37, menghadapi 11 pertuduhan, antaranya didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun dengan menghantar gambar dan perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *