Zahid Hamidi Bebas 40 Pertuduhan Rasuah

Hakim memerintahkan Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua tuduhan utama dan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

SHAH ALAM : Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepaskan dan membebaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung sistem Visa Luar Negara (VLN).

Keputusan itu dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap semua pertuduhan di akhir kes pendakwaan itu.

Terdahulu, Presiden Umno yang hadir berbaju Melayu putih krim dan berseluar hitam itu tiba di mahkamah kira-kira 8.45 pagi dengan ditemani isterinya

Sekumpulan penyokongnya turut hadir di perkarangan luar Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebagai tanda solidariti terhadap beliau.

Turut kelihatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah hadir memberikan sokongan.

Sebelum ini, Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN.

Suapan itu juga bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama, oleh Kementerian Dalam Negeri.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 hingga Mac 2018.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *