Bajet 2023: Tuntut 40% Hasil Sabah Antara Lima Cadangan UPKO

Wilfred Madius Tangau (dua dari kanan) bersama Tengku Zafrul Aziz (tengah) serta wakil Upko lain selepas mengadakan sesi libat urus Bajet 2023 di ibu negara, hari ini.

KUALA LUMPUR : Tuntutan 40% hasil bersih dikutip kerajaan persekutuan setiap tahun daripada Sabah antara dicadangkan Upko kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, sempena Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Parlimen, bulan depan.

Presidennya, Wilfred Madius Tangau, berkata parti itu tetap berpegang kepada hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kami juga sama sekali tidak bersetuju dengan keputusan pemberian khas menerusi geran tahunan yang dinaikkan 4.7 kali ganda atau RM125.6 juta untuk tahun ini, berbanding RM26.7 juta sejak tahun 1973 kerana keputusan itu dilakukan tanpa mengambil kira hak 40%.

“Lantaran itu, Upko menuntut agar bayaran pulangan cukai adalah mengikut kepada perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah dimeterai dan seterusnya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu 40% daripada jumlah hasil bersih yang dikutip oleh persekutuan dari Sabah, hendaklah diberikan kepada kerajaan negeri kembali seperti mana yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan.-ADVERTISEMENT-Ads by 

Madius berkata, cadangan kedua Upko ialah supaya Bajet 2023 turut memasukkan pewartaan zon perdagangan bebas di setiap taman perindustrian di negeri itu.

Katanya, ia bagi merancakkan lagi pelaburan dalam sektor pembuatan, kemasukan pelaburan asing dan dalam negeri, pertukaran teknologi serta pewujudan peluang pekerjaan.

Beliau berkata, cadangan ketiga Upko pula meminta kerajaan menggunakan pendekatan membasmi kemiskinan yang terbukti berjaya di seluruh dunia iaitu pendekatan “Grameen Bank” seperti diperkenalkan di Bangladesh.

“Upko terus memperjuangkan masalah kemiskinan yang membelenggu di Sabah terutama di lapan daerah yang direkodkan sebagai antara 10 daerah termiskin di Malaysia iaitu Kudat, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Tongod, dan Nabawan,” katanya.

Sementara itu, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran, berkata cadangan keempat parti itu ialah supaya bajet kali ini turut memasukkan peruntukan kewangan bagi pengambilan guru pelatih Bahasa Kadazandusun di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent, di Tuaran.

Beliau berkata, cadangan terakhir parti itu ialah kerajaan menyediakan peruntukan khas bagi menaiktaraf jalan luar bandar di Sabah.

“Sebagai makluman, di Sabah masih ada kira-kira lebih 5,000 km jalan raya di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang perlu dinaiktaraf dari gravel ke aspal.

“Justeru, Upko minta supaya kerajaan memberi keutamaan memberi peruntukan menaik taraf jalan-jalan tersebut dalam Bajet 2023 dengan kadar RM2 Juta sekilometer,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *