Tak Diberi Peranan? Kamu Wakil Rakyat, Ketua Bersatu Lahad Datu Selar Mohamaddin Ketapi

Abdul Hakim Gulam Hassan (kanan) pada sidang media di Lahad Datu, hari ini.

KOTA KINABALU: Ketua Bersatu Lahad Abdul Hakim Gulam Hassan menyelar dakwaan Mohamaddin Ketapi yang mengumumkan keluar parti itu kerana tidak diberi peranan dalam Bersatu.

Katanya, sebagai Ahli Parlimen Lahad Datu dan ADUN Segama yang sebelum ini mewakili Bersatu, Mohamaddin memikul peranan lebih besar untuk membantu rakyat.

“Jadi tidak timbul soal tidak diberi peranan kerana sebagai Ahli Parlimen dan ADUN, peranan beliau sebagai wakil rakyat adalah amat besar.

“Seperkara lagi, selepas menyertai Bersatu, beliau (Mohamaddin) sebenarnya adalah AJK (ahli jawatankuasa) Bersatu Lahad Datu, kerana perlembagaan parti ini jelas menyatakan bahawa setiap wakil rakyat adalah secara automatik menjadi AJK bahagian.

“Selaku AJK bahagian parti yang dianggotai juga tidak pernah menghalang beliau untuk menjalankan peranannya,” katanya pada sidang media di Lahad Datu.

Hakim berkata, jika Mohamaddin inginkan jawatan lebih tinggi seperti ketua bahagian, beliau perlu menunggu sehingga pemilihan parti akan datang.

“Selepas pemilihan parti yang lalu saya telah dipilih sebagai ketua bahagian dan menjadi tanggungjawab saya untuk mengurus tadbir parti dan juga ahli.

“Sekiranya beliau mahu jadi ketua bahagian, beliau perlu bertanding pada pemilihan akan datang, kena tunggu dan sabarlah,” katanya.

Hakim berkata, beliau juga tidak tahu langsung berkenaan dakwaan Mohamaddin yang mengatakan dia dijanjikan peranan dalam Bersatu di Lahad Datu.

Katanya, beliau kurang jelas apakah bentuk peranan yang konon dijanjikan kepada Mohamaddin seperti dikatakan dalam sidang medianya semalam.

“Sebenarnya, saya tidak tahu apa-apa tentang janji tersebut, saya tidak tahu siapa yang menjanjikan beliau dan saya tidak tahu apa sebenarnya dijanjikan kepada beliau.

“Tetapi, sekiranya maksud beliau dijanjikan peranan untuk memimpin parti adalah jawatan tertentu dalam parti atau bahagian, maka selaku ahli politik yang cukup berpengalaman dan lama terlibat dalam empat parti besar iaitu sejak PBS, PKR, Warisan dan kemudian Bersatu, beliau sepatutnya sedia maklum, untuk menjawat satu-satu jawatan dalam parti harus menawarkan diri bertanding merebut jawatan dalam pemilihan parti,” katanya.

Sementara itu, Hakim juga menyelar sindiran sinis Mohamaddin terhadapnya yang mengatakan beliau berlagak seperti wakil rakyat.

“Sebetulnya, saya sebagai ketua parti di peringkat bahagian, saya tidak mempunyai apa-apa peruntukan yang boleh disalurkan kepada rakyat, tetapi saya berusaha semampu yang boleh untuk membantu rakyat,

“Saya hanya mahu berkhidmat kepada rakyat, walaupun sedar tidak dapat memenuhi atau membantu keseluruhan rakyat di kawasan saya, adakah dengan membantu rakyat itu perlu berlagak sebagai wakil rakyat,” katanya.

Terdahulu, Mohamaddin yang menyertai Bersatu selepas keluar Warisan pada November lalu mengumumkan keluar daripada parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas mesra kerajaan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *