‘Kecewa’ Tunggu Janji Bot Wakil Rakyat, Pelajar Di Nabawan Sabung Nyawa Guna ‘Zipline’ Ke Sekolah

Video pelajar SK Nangkawangan terpaksa berakit dan menaiki “zipline” untuk menyeberangi sungai ke sekolah yang tular di media sosial sejak semalam.

KOTA KINABALU: Menyedihkan adalah ungkapan tepat nengenai keadaan penduduk di Kampung Nangkawangan, Nabawan, yang saban hari bergadai nyawa untuk menyeberangi sungai selepas jambatan gantung di situ dihanyutkan banjir bulan lalu.

Penduduk di kampung berkenaan, khususnya pelajar sekolah, mempunyai dua cara untuk menyeberangi sungai terbabit, iaitu berakit ataupun menaiki “zipline” yang dibina masyarakat setempat.

Jurucakap penduduk, Zazila Roslan, 30, berkata, jambatan gantung berkenaan hanyut dalam banjir besar di beberapa kawasan di Nabawan beberapa minggu lalu.

Katanya, beberapa lagi laluan, sama ada jambatan gantung atau jambatan konkrit untuk menyeberangi sungai, turut musnah akibat bencana alam itu.

“Banjir luar biasa itu berlaku ketika cuti sekolah dan apabila habis cuti, guru-guru yang mengajar di beberapa buah sekolah di kawasan berkenaan terpaksa berjalan kaki kira-kira 18 jam bagi memastikan mereka sampai ke sekolah untuk mendidik anak-anak di situ.

“Saya tahu perkara ini kerana ibu saya merupakan cikgu di salah sebuah kampung di situ dan saya bersama pasukan Sukarelawan Anak Negeri Sabah juga telah pergi ke beberapa kampung berhampiran bagi misi menghantar bantuan,” katanya kepada FMT.

Zazila berkata, dia dimaklumkan oleh wakil rakyat kawasan itu yang juga Ahli Parlimen Pensiangan Arthur Joseph Kurup, yang turun padang untuk meninjau masalah berkenaan seterusnya berjanji menyediakan bot bagi kegunaan penduduk sementara menunggu pembinaan jambatan baharu.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini janji itu belum ditunaikan dan menyebabkan penduduk kampung terpaksa berakit untuk ke seberang sungai dan sekiranya aliran sungai deras, mereka akan menggunakan “zipline”.

“Menaiki ‘zipline’ untuk menyeberang sungai mungkin nampak menyeronokkan, tapi sebenarnya ia amat bahaya jika tiada ciri-ciri keselamatan, lebih-lebih lagi jika yang menaikinya adalah pelajar sekolah.

“Mereka (pelajar) begitu gigih untuk menimba ilmu, tapi terpaksa melalui semua ini. Berakit, naik ‘zipline’, bot mana?…Saya tidak suka bercakap mengenainya tapi jangan sampai berlaku sesuatu yang tidak diingini baharu terbuka mata pihak-pihak berkaitan.

“Tidak lama lagi cuti Hari Raya, takkan para guru termasuk ibu saya terpaksa sekali lagi berjalan kaki 18 jam?,” katanya.

Terdahulu, beberapa klip video yang menunjukkan pelajar sekolah menaiki rakit serta “zipline” turut tular di media sosial.

FMT telah menghubungi Kurup yang juga timbalan menteri kerja raya untuk mendapatkan respons beliau. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *