Malaysia Mohon Batal Anugerah RM63 Bilion Kepada Waris Sultan Sulu

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memfailkan permohonan kepada mahkamah timbang tara di Perancis untuk membatalkan pembayaran anugerah USD14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu terakhir.

Dalam kenyataan, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, tuntutan waris terbabit, menerusi prosiding timbang tara antarabangsa, adalah tidak sah dan melanggar undang-undang.

“Ini (permohonan) bagi memastikan ‘Final Award’ tersebut tidak boleh dikuatkuasakan oleh pihak yang menuntut pada bila-bila masa dan di mana-mana negara dan supaya Malaysia tidak perlu membayar wang pampasan sebanyak RM62.59 bilion seperti yang dituntut,” kata Ismail dalam kenyataan.

Sebelum ini dilaporkan, mahkamah timbang tara Perancis mengarahkan kerajaan Malaysia membayar waris Sultan Sulu atas pelanggaran perjanjian 1878 berkaitan wilayah yang kini Sabah.

Perdana Menteri Malaysia, Ismail Sabri Yaakob

Pada Isnin, Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah berkata keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Arbitrasi Paris tidak menjejaskan kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia.

Beliau berkata Malaysia telah beberapa kali menegaskan bahawa ia tidak melayan sebarang tuntutan ke atas Sabah, yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia pada 16 Sept 1963.

“Perlu ditegaskan bahawa kerajaan Malaysia tidak berdiam diri tetapi telah mengambil beberapa langkah untuk menghentikan prosiding tuntutan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan dan keputusan timbang tara itu.

Katanya, ini memandangkan hakikat bahawa pelantikan penimbang tara asal, Gonzalo Stampa, di Sepanyol telah dibatalkan dan tidak lagi sah di sisi undang-undang, menyebabkannya tidak boleh memindahkan kerusi timbang tara dari Madrid ke Paris untuk meneruskan prosiding.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *