Lebih 500,000 Pelajar Mula Sekolah Di Sabah Hari Ini, Tiga Sekolah Masih Ditutup

Gelagat murid-murid semasa hadir pada hari pertama pembukaan sekolah di Sekolah Kebangsaan Patau-Patau, Labuan, Sabah hari ini. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 10 Jan : Seramai 536,395 pelajar memulakan sesi persekolahan hari ini di 1,075 sekolah rendah dan 218 sekolah menengah di seluruh Sabah, kata Pengarah Pendidikan negeri Datuk Dr Mistirine Radin.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi seramai 320,912 pelajar sekolah rendah dan 215,483 pelajar sekolah menengah.

Bagaimanapun katanya seramai 169 pelajar di tiga sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Penontomon di Pensiangan, SK Pantai Boring di Beluran dan SK Lago di Beaufort menangguhkan sesi persekolahan hari ini kerana masih dilanda banjir atau banjir baharu surut dan sedang dalam pembersihan.

Mistirine berkata daripada 169 pelajar itu, SK Penontomon melibatkan seramai 69 pelajar, SK Pantai Boring (85 pelajar), dan SK Lago (15 pelajar).

“Murid-murid (sekolah tangguh pengoperasian) akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula hari ini sehingga sekolah selamat dan bersih untuk persekolahan bersemuka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata sebanyak 38 sekolah swasta di bawah Kementerian Pendidikan di negeri ini memulakan sesi persekolahan hari ini melibatkan 7,149 pelajar, dengan seramai 1,075 pelajar dari 18 sekolah rendah dan 20 sekolah menengah melibatkan 6,074 pelajar.

Sementara itu, seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Telipok, Tuaran, Atif Isfahan Ramzi, 14, berasa teruja untuk kembali ke sekolah, namun berdebar untuk mengetahui keputusan ujian yang diambil sebelum cuti sekolah lepas.

“Sudah bersedia daripada awal untuk masuk ke sekolah, tiada masalah untuk kembali mengikuti pelajaran Tingkatan Dua dan lambat sikit masuk Tingkatan Tiga kerana ada masa untuk ‘catch-up’ pembelajaran Tingkatan Dua yang lepas,” katanya.

Sementara itu, Ismail Jahid, 46, berkata dua anaknya masing-masing di Tingkatan Satu dan Tingakatan Empat bersekolah di SMK Bengkongan, Kota Marudu, menggunakan pakaian dan kasut sekolah lama, namun kecewa kerana buku dan peralatan sekolah anaknya rosak akibat banjir melanda baru-baru ini.

“Semasa banjir, semua barang tenggelam air (banjir), baju kita boleh basuh dan gunakan semula tetapi barang lain macam buku rosak semua,” katanya yang bersyukur kerana menerima bantuan dari kerajaan  seperti buku, alat tulis yang dapat meringankan beban kewangan selain menggembirakan anak-anaknya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *