Lupakan Saja Agenda Reformasi Sabah, PH Diberitahu

Adalah lebih baik supaya Pakatan Harapan (PH) Sabah meninggalkan cadangan mengadakan MoU dengan kerajaan negeri, kata penganalisis

KOTA KINABALU: Penganalisis menasihatkan Pakatan Harapan (PH) Sabah supaya melupakan saja idea bagi mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri memandangkan DAP juga telah membuat keputusan untuk berundur.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata perjanjian seperti itu hanya akan meningkatkan populariti kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sambil menjejaskan imej PH Sabah.

“Lebih baik PH Sabah meninggalkannya. Lagipun, DAP dan Warisan juga tidak mahu mengambil bahagian,” katanya.

Beliau berkata DAP Sabah mungkin sedar popularitinya akan terjejas jika meneruskan cadangan MoU dikenali sebagai Agenda Reformasi Sabah (SRA) itu yang mencontohi persetujuan PH dengan pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, DAP nampaknya percaya bahawa kerjasama itu akan menyebabkan PH Sabah “terikat” dengan GRS, di mana ia akan menghalang mereka daripada menjadi pembangkang yang efektif.

DAP telah membuat keputusannya pada Ahad. Setiausaha DAP Sabah Phoong Jin Zhe berkata parti itu merasakan tiada keperluan untuk mengadakan sebarang kerjasama dengan GRS kerana gabungan pemerintah itu telah pun mendapat majoriti yang selamat.

Ini berbeza dengan situasi di Dewan Rakyat, apabila kerajaan Ismail Sabri Yaakob hanya mempunyai majoriti kecil.

Pada 15 November lalu, DAP bersama PH Sabah telah mengemukakan agenda reformasi yang mengandungi tujuh syor untuk membentuk kerjasama itu kepada Ketua Menteri Hajiji Noor.

Ketua PH Negeri Christina Liew berkata beliau tidak tahu mengenai keputusan DAP itu dan akan mendapatkan maklumat lanjut daripada parti berkenaan.

PH Sabah terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Upko (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu).

Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah berkata SRA yang bertujuan mencapai kestabilan politik itu, tidak akan menjadi signifikan tanpa penyertaan Warisan.

Katanya, beliau percaya rakyat juga tidak merasakan kerjasama itu diperlukan kerana kestabilan politik Sabah bergantung kepada situasi politik di Semenanjung. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *