Ganti Gelaran Di-Pertua Negeri Kepada Yang Di-Pertua Negara, Kata Jeffrey

Presiden STAR Jeffrey Kitingan berkata, perkara berkenaan juga akan memulihkan perkataan asal proklamasi Malaysia di mana gabenor Sabah digelar sebagai Yang di-Pertua Negara Sabah.

KOTA KINABALU: Presiden STAR Jeffrey Kitingan berkata, selepas pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan di Dewan Rakyat, semalam, kini giliran Sabah pula untuk meminda perlembagaannya sendiri bagi menggantikan gelaran gabenor negeri daripada Yang di-Pertua Negeri kepada Yang di-Pertua Negara.

Katanya, pindaan terhadap Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan yang mengembalikan perkataan asalnya sebelum ini hanyalah langkah pertama ke arah memulihkan status sebenar Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

“Ini penting kerana ia mengangkat martabat kita sebagai sebuah negara berbanding ketika kita memanggil gabenor kita sebagai Yang di-Pertua Negeri semata-mata.

“Kita perlu menanamkan dalam minda rakyat status sebenar Sabah dan Sarawak, dalam Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau berkata, perkara berkenaan juga akan memulihkan perkataan asal proklamasi Malaysia di mana gabenor Sabah digelar sebagai Yang di-Pertua Negara Sabah.

Selain itu, katanya kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus memperjuangkan pemulihan penuh autonomi negeri itu, khususnya dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

Beliau turut menegaskan, selain Perkara 1(2), kelemahan lain dalam Perlembagaan Persekutuan ialah Perkara 160(2) yang mentakrifkan persekutuan sebagai persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.

“Sabah dan Sarawak bukan tidak terlibat dalam perjanjian ini. Tafsiran ini mesti diperbetulkan kerana jika tidak, setiap kali istilah ‘persekutuan’ digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan, ia hanya merujuk kepada negeri-negeri Tanah Melayu.

“Pindaan mesti dibuat untuk mentafsirkan persekutuan sebagai persekutuan yang dibentuk menurut Perjanjian Malaysia 1963 atau jika tidak, ‘sandiwara’ Malaya yang berpura-pura menjadi Malaysia ini akan berterusan,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *