Timbalan Pengarah AADK Didenda RM8,000 Buat Tuntutan Palsu

Christopher anak Billy (baju lengan panjang) menghadapi empat pertuduhan tuntutan palsu di Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU : Mahkamah Khas Rasuah pada Jumaat mengenakan denda RM8,000 ke atas seorang Timbalan Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah di Kota Kinabalu selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan membuat tuntutan palsu elaun perjalanan.

Tertuduh, Christopher Anak Billy, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Menurut pertuduhan alternatif pertama, tertuduh antara 5 April hingga 7 Jun 2017 di pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah di Kota Kinabalu menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu resit hotel dengan jumlah RM240 untuk membuat tuntutan elaun perjalanan dalam negeri bagi Mac 2017.

Pertuduhan alternatif kedua, tertuduh antara 7 Ogos hingga 17 Ogos 2017 di pejabat AADK Kota Kinabalu menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu dua resit hotel masing-masing berjumlah RM270 dan RM264 untuk membuat tuntutan perjalanan dalam negeri bagi Julai 2017.

Pertuduhan alternatif ketiga, tertuduh antara 8 September hingga 30 September 2017 di pejabat AADK Kota Kinabalu menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu resit hotel berjumlah RM267 untuk membuat tuntutan perjalanan dalam negeri bagi Ogos 2017.

Pertuduhan alternatif terakhir, tertuduh antara 28 September hingga 28 November 2017 di Pejabat AADK Kota Kinabalu menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu resit hotel dengan jumlah RM345 untuk membuat tuntutan perjalanan dalam negeri bagi September 2017.

Tertuduh telah melakukan semua kesalahan itu di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal bayar boleh dipenjara selama dua bulan. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *