87 Kes Kematian Di Sabah, Tapi Tidak Semestinya Berlaku Dalam Sehari – Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun berkata, ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.

KOTA KINABALU: Sabah hari ini mencatat kes kematian tertinggi iaitu sebanyak 87 dengan 24 daripadanya direkodkan di Sandakan.

Bagaimanapun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun menjelaskan jumlah itu tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini.

Katanya, ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.

“Selain Sandakan, 14 kes direkodkan di Tawau, lapan kes di Tuaran, enam kes di Kota Kinabalu, lima kes di Lahad Datu dan Keningau.

“Sementara itu, empat kes lagi dicatatkan di Kota Marudu, tiga kes di Ranau dan Kota Belud, dua kes di Beaufort, Kinabatangan, Penampang, Beluran, Semporna serta Papar, manakala Nabawan, Kalabakan dan Tongod masing-masing mencatatkan satu kes,” katanya dalam kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Kota, hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata peratusan populasi dewasa di Sabah yang telah lengkap divaksin kini telah mencapai 60%.

Katanya, bilangan itu boleh diandaikan telah dicapai semalam selepas peratusan populasi dewasa di negeri itu yang telah lengkap divaksinkan pada 20 September lalu ialah 59.4%.

“Peratusan berkenaan menunjukan Sabah berada pada landasan yang baik untuk mencapai imuniti kelompok,” katanya dalam kenyataan harian perkembangan Covid-19 Sabah, hari ini.

Masidi berkata, peratusan rakyat Sabah yang telah divaksin sebenarnya lebih tinggi daripada yang ditunjukkan oleh data semasa negeri itu.

Menurutnya, ini kerana ramai rakyat negeri itu berada di Semenanjung pada masa ini, dan ini sebahagian daripada statistik penduduk Sabah.

“Misalnya, sebagai petanda, sebanyak 171,963 bakul makanan telah diagihkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) rakyat Sabah yang sedang berada di Semenanjung.

“Ramai daripada rakyat Sabah ini telah pun divaksin di Semenanjung Malaysia dan oleh demikian, peratusan rakyat Sabah yang telah divaksin sebenarnya lebih tinggi daripada yang ditunjukkan oleh data semasa kita.

“Populasi dewasa Sabah ialah sebanyak 2,758,400 dan peratusan yang telah divaksin di Sabah setakat 20 September ialah 59.4%. Rakyat Sabah yang dianggar telah mendapat vaksin di Semenanjung, katalah 200,000 orang, (jadi) anggaran peratusan sebenar populasi Sabah yang telah divaksin adalah lebih tinggi dari data rasmi kita,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *