Tidak Scan MySejahtera, Dua Kilang & 3 Pekerja Dikompaun RM26,000

Yusuh (tengah) semasa membuat pemeriksaan di salah satu premis dalam Op Patuh IPD Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Dua kilang di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), di sini, yang diperiksa dalam Op Patuh, dikenakan kompaun selepas didapati cuai dalam memastikan pekerja membuat imbasan kod MySejahtera.

Dalam operasi jam 2 petang itu, polis turut mengeluarkan tiga kompaun kepada pekerja kerana gagal mengimbas kod MySejahtera menjadikan jumlah keseluruhan kompaun dikeluarkan sebanyak RM26,000.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sabah, Senior Asisten Komisioner, Yusuh Mat Tais berkata, pemeriksaan awal yang dijalankan mendapati kedua-dua kilang ini menuruti syarat-syarat dibenarkan.

Katanya, ia termasuk beroperasi dengan kapasiti jumlah tenaga kerja dibenarkan iaitu 50 dan 60 pekerja dalam satu-satu masa.

“Bagaimanapun, pemeriksaan kod imbasan pula mendapati tiga pekerja gagal membuat imbasan kod MySejahtera.

“Bagi syarikat, kita mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 setiap satu manakala bagi pekerja pula dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang,” katanya ketika ditemui media selepas hadir dalam Op Patuh di KKIP, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah.

Yusuh berkata, tindakan diambil mengikut Perkara 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan tempatan jangkitan) (No 4) 2021

Katanya, operasi pemantuan itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha memastikan pandemik Covid-19 dapat dilandaikan.

Operasi ini turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost