60 Tahun Sabah Di Bawah BN, Kami Tetap Mundur, Kata Shafie

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berpendapat pendekatan pentadbiran Sabah perlu diubah dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan pusat supaya pembangunan negeri itu lebih maju.

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal kesal kerana negeri di bawah bayu itu gagal dimajukan sepanjang 60 tahun ditadbir Barisan Nasional (BN).

Bekas menteri di era BN yang memegang pelbagai portfolio termasuk pembangunan luar bandar yang sinonim dengan Sabah itu berkata ketika Pakatan Harapan berjaya merampas pentadbiran pusat dari BN pada pilihan raya umum ke-14, beliau ada menyatakan kepada Dr Mahathir Mohamad supaya “gunakan Sabah sebaik mungkin”.

Shafie berkata, Sabah mempunyai sumber yang cukup besar dan banyak, bukan saja tempat pelancongan yang menarik tetapi sumber mineral dan lokasi yang strategik untuk membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara yang kompetitif.

“Dulu, kita sebagai sebuah negeri berlandaskan BN, sampai kita anggap jika tiada BN, Sabah akan mundur. Tetapi di bawah BN selama 60 tahun, kita masih lagi mundur,” katanya dalam satu temu bual khas bersama Malaysiapost.

Justeru, beliau berpendapat pendekatan pentadbiran Sabah perlu diubah dan tidak terlalu bergantung kepada pusat supaya pembangunan negeri itu lebih maju.

“Takkan kita tak boleh tadbir wilayah ini sebaik mungkin. Kita perlu ada satu pendekatan yang tiada pergantungan dengan pusat. Yang penting tadbir urus negara dengan sebaik mungkin, jangan fikir mengenai rasuah atau pertimbangan wang. Semua itu perlu diatasi,” katanya.

Dalam pada itu, Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, kedudukan strategik Sabah sebagai wilayah paling hampir dengan Kalimantan, yang bakal menjadi ibu negara Indonesia, perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan pusat.

Katanya, Sabah mampu menjadi hab pelabuhan kapal laluan Asia Timur ke Timur Tengah selain Labuan berpotensi sebagai hab kewangan.

“Pelabuhan di Kudat perlu ditambah baik kerana ia titik paling hujung Sabah dan menjadi laluan utama pedagang, jadikan ia sebagai pelabuhan antarabangsa. Bayangkan Singapura yang tiada minyak setitik pun mampu mampu jual produk petroleum untuk perkapalan yang ada. Jadi ini yang saya lihat potensi besar yang ada pada Sabah untuk bersaing,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost