PN Perlu Kemuka Calon PM Baharu, Kata Penganalisis


Banyak isu akan dapat diselesaikan jika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, kata penganalisis Ahmad Fauzi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) perlu mengemukakan calon Perdana Menteri baharu kerana Muhyiddin Yassin bakal dipersalahkan atas pembatalan unilateral Ordinan Darurat.

Mengulas mengenai kemelut semalam yang mencetuskan teriakan “derhaka” di Dewan Rakyat dan tanda pagar #KerajaanDerhaka menjadi trend di Twitter, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, reaksi marah sebegitu sememangnya dijangka.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan kegagalan beliau mendapat perkenan baginda dalam isu penting seperti pembatalan Ordinan Darurat adalah seumpama suatu pengkhianatan.

Semalam, Istana Negara berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan mengelirukan Ahli Parlimen dengan pengumumannya mengenai pembatalan Ordinan Darurat dan bahawa Agong berasa “amat dukacita” kerana baginda belum memberi perkenan.

Menurut Istana, dalam satu majlis menghadap secara maya, Agong menitahkan kepada Takiyuddin dan Peguam Negara Idrus Harun agar cadangan pembatalan Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

Ahmad Fauzi.

Ahmad Fauzi berkata, dalam mentadbir kerajaan persekutuan atau negeri, Perdana Menteri atau Menteri Besar (MB) harus tahu bagaimana untuk menangani hubungan dengan Raja.

“Banyak isu dapat diselesaikan jika Muhyiddin dan Takiyuddin memilih untuk melepaskan tanggungjawab mereka sebagai menteri,” katanya.

Katanya, oleh sebab Umno hanya menarik sokongan kepada Muhyiddin, bukan kerajaan, maka PN harus mengemukakan calon Perdana Menteri lain yang mampu mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Perkara sudah berlaku, tetapi masih ada masa sebelum pilihan raya berikutnya untuk memperbaiki hubungan mereka dengan Istana,” katanya.

Ahli sains politik Wong Chin Huat berkata, ketiadaan perkenan Diraja berkenaan isu Ordinan Darurat akan merugikan ketiga-tiga parti orang Melayu dalam kerajaan.

Wong Chin Huat

Beliau berkata, institusi Diraja dilihat sebagai pelindung orang Melayu dan simbol ketuanan politik mereka sementara Umno, Bersatu dan PAS menggambarkan diri masing-masing sebagai pembela institusi Diraja.

Jadi, isu Ordinan Darurat ini menjadikan mereka kelihatan hipokrit, katanya.

Kata Wong lagi, beberapa Ahli Parlimen kerajaan “jelas berada dalam dilema” dan terbahagi antara kesetiaan mereka kepada Perdana Menteri dan tetap mahu disenangi Istana.

“Bagi mereka dalam Umno, mereka juga takut berasa terasing daripada penyokong parti yang membenci Perdana menteri dan Bersatu,” katanya.

Beliau berkata, “faktor Diraja” sangat penting bagi mana-mana pihak yang ingin membentuk kerajaan, terutamanya jika mereka tidak mempunyai majoriti kukuh di Parlimen dan sokongan rakyat.

“Bahkan semasa zaman kegemilangan Umno, ada beberapa MB yang terpaksa bersara atau pindah ke peringkat persekutuan kerana tidak disenangi Raja,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *