Majlis Pengebumian, Tahlil Cetus Kluster Baharu Di Papar

KOTA KINABALU: Majlis pengebumian dan tahlil dipercayai menjadi punca jangkitan Covid-19 yang mencetuskan Kluster Kebun Lama Papar berkaitan komuniti yang dilaporkan di Sabah pada hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster itu dikesan selepas seorang lelaki berumur 33 tahun positif Covid-19 melalui saringan ‘sign-on’ kapal pada 15 Julai lalu.

Katanya, kes indeks itu membawa kepada penemuan 26 lagi kes positif dalam kalangan ahli keluarga menjadikan kumulatif kes setakat ini sebanyak 27 kes, termasuk 24 kes yang dilaporkan pada hari ini.

“Saringan kontak rapat mendapati satu kes positif di daerah Papar pada 17 Julai. Berikutan penemuan kes positif itu, saringan kontak dijalankan terhadap 35 sampel dan mendapati 26 kontak positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 27 kes, lapan sampel negatif dan satu sampel masih menunggu keputusan ujian saringan.

“Berdasarkan siasatan awal, pertambahan bilangan kes positif dalam kalangan ahli keluarga disyaki berpunca daripada majlis pengebumian pada 6 Julai lalu di Kampung Kabang, diikuti majlis tahlil selama lima hari yang dihadiri 60 orang di Kampung Nagapas, Papar,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Sementara itu, di Kinabatangan, satu lagi kluster baharu turut dilaporkan pada hari ini yang membabitkan jangkitan di tempat kerja iaitu sebuah ladang kelapa sawit di Mukim Sukau.

Masidi berkata, Kluster Kuril itu tercetus selepas seorang lelaki berumur 26 tahun yang bekerja sebagai pemandu ladang disahkan positif Covid-19 di sebuah klinik di Kinabatangan pada 15 Julai lalu.

“Saringan kontak kemudian mengesan 11 lagi kes positif dalam kalangan keluarga, pekerja dan tanggungan. Aktiviti siasatan, persampelan Covid-19 dan sanitasi masih diteruskan di lapangan untuk menilai tahap jangkitan serta risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas dalam kalangan pekerja ladang berdekatan yang lain.

“Setakat hari ini, sebanyak 12 kes positif Covid-19 direkodkan bagi kluster ini termasuk 10 kes baharu,” katanya.

Secara keseluruhan, Sabah hari ini merekodkan sebanyak 497 kes baharu iaitu meningkat 23 kes berbanding 474 kes semalam dengan satu kes kematian dilaporkan di Tawau, manakala seramai 266 pesakit dilaporkan sembuh.

Masidi berkata, penyumbang utama kes hari ini adalah melalui saringan kontak rapat iaitu sebanyak 240 kes atau 48.3 peratus daripada kumulatif kes harian Sabah, diikuti 86 kes saringan bergejala (17.3 peratus), 35 kes melalui saringan bersasar (tujuh peratus) dan 84 kes melalui kluster sedia ada (16.9 peratus). – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *