Selepas 44 Hari PKP, Keadaan Makin Buruk

Dengan hospital, khususnya di Lembah Klang, dilaporkan bergelut dengan jumlah kes yang tinggi dan petugas barisan depan terbeban, amaran Noor Hisham menjadi peringatan jelas keadaan boleh menjadi buruk dalam sekelip mata.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) berkata ramalannya yang Malaysia akan merekodkan lebih 13,000 kes Covid-19 menjelang 14 Jun lalu tidak berlaku disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh.

Sebulan kemudian, ketika PKP penuh masih dilaksanakan, ia akhirnya berlaku.

Sebanyak 13,215 kes Covid-19 dilaporkan hari ini, selepas PKP penuh mula dilaksanakan 1 Jun lalu.

Pada 9 Jun, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ramalan lonjakan jangkitan itu dapat dielakkan dengan adanya langkah sekatan pergerakan.

“Ia kini mendatar dan menunjukkan trend penurunan sejak tiga hari lalu,” katanya ketika mengulas trend purata kes Covid-19 selama tujuh hari ketika itu.

“Namun, kita belum selamat,” kata Hisham.

Pada 14 Jun, sebanyak 6,588 kes dilaporkan. Keadaan buruk nampaknya akan berakhir.

Tetapi, sebaliknya berlaku.

Hari ini, sebanyak 13,215 kes dicatatkan, rekod tertinggi selama tiga hari berturut-turut dalam minggu ini. Keseluruhannya, sebanyak 35,912 kes direkodkan sejak Isnin hingga hari ini.

Kini, dengan hospital, khususnya di Lembah Klang, dilaporkan bergelut dengan jumlah kes yang tinggi dan petugas barisan depan terbeban, amaran Hisham menjadi peringatan jelas keadaan boleh menjadi buruk dalam sekelip mata.

Namun, masih ada kebimbangan situasi Covid-19 mungkin meruncing apabila Hisham pada Isnin mendedahkan KKM menjangkakan lonjakan jangkitan dalam dua minggu lagi.

Dr Kumitaa Theva Das, pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia, memberi amaran jangkitan Covid-19 mungkin mencecah 20,000 kes sehari dalam tempoh 14 hari berikutan penularan varian Delta. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost