Hanya Makan Bubur, Penghuni Pusat OKU Di Tuaran Terpaksa Kibar Bendera Putih

Pusat Latihan dan Amali OKU di Tuaran terpaksa mengibarkan bendera putih sebagai isyarat memohon bantuan berikutan hilang punca pendapatan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

KOTA KINABALU: ”Kami sangat tertekan dan hilang arah, jika kami tidak mengibarkan bendera putih, mungkin perkara buruk akan berlaku termasuk bunuh diri,” itu luahan seorang pengurus Pusat Latihan dan Amali Orang Kelainan Upaya (OKU) Sabah di Tuaran.

Azman Saidin berkata kesempitan hidup dialaminya bersama sekumpulan pelatih OKU di pusat itu berikutan hilang punca pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih dilanjutkan sehingga kini.

”Pusat ini sebenarnya menempatkan OKU yang tidak mempunyai pekerjaan atau tidak diberi peluang untuk bekerja di mana mereka akan dilatih membuat perabot untuk dijual kepada orang ramai dan hasilnya akan menjadi gaji buat mereka.

”Bagaimanapun sejak PKP dan ‘total lockdown’ dilaksanakan, kami tidak lagi dapat menjual perabot dan hampir setiap hari hanya makan bubur untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Menceritakan rintangan yang dihadapi mereka, Azman berkata sebelum ini terdapat seramai 22 pelatih yang bekerja di pusat itu namun lebih separuh daripada mereka terpaksa dilepaskan.

”Walaupun berat hati, saya terpaksa melepaskan mereka untuk balik ke pangkuan keluarga masing-masing kerana kerja di sini juga semakin berkurangan berikutan tiada tempahan perabot.

”Sekarang ini hanya tinggal 10 orang lagi pelatih yang berjuang untuk terus hidup setiap hari,” katanya.

Azman berkata, susulan itu dia mengambil keputusan menghubungi seorang doktor psikiatri untuk meluahkan perasaan serta memaklumkan keadaan yang kini dialami mereka.

Katanya, doktor itu kemudian mencadangkan agar mengibarkan bendera putih seperti mana yang diuar-uarkan dalam media sosial ketika ini.

”Saya fikir, kalau kami tidak dicadangkan berbuat demikian (kibar bendera putih), mungkin perkara tidak diingini boleh berlaku seperti kes bunuh diri yang kita selalu dengar ketika ini.

”Saya sendiri juga rasa sangat tertekan lebih-lebih lagi saya ini juga sedang menerima rawatan psikiatri daripada Hospital Mesra Bukit Padang,” katanya.

Azman berkata, dia tidak sangka cara mengibarkan bendera putih mendapat respon dan hasil yang sangat pantas.

Katanya, mereka mula mengibarkan bendera putih di luar pusat berkenaan pada Selasa dan kira-kira dua jam selepas itu, ramai pihak yang tampil menghulurkan bantuan.

”Bukan hanya memberikan sumbangan masing-masing tetapi ada juga yang menempah serta membeli perabot daripada kami.

”Saya sangat terharu kerana ramai orang di luar sana yang menunjukkan kasih sayang mereka. Bukannya kami meminta perkara ini berlaku tetapi keadaan semasa telah menyebabkan kami tertekan,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *