154 Kompaun Dikeluarkan Di Sabah Hari Ini

KOTA KINABALU: Sejumlah 154 kompaun dikeluarkan kepada individu ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) di Sabah hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam kenyataan media COVID-19 harian berkata kesalahan paling tinggi yang dilakukan adalah pemilik premis gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan iaitu mencecah 49 kesalahan.

“39 pemilik kenderaan dikompaun selepas didapati membawa penumpang berlebihan dan 38 yang lain tidak memakai pelitup muka serta gagal memakai pelitup separuh muka dengan betul diikuti 12 kesalahan tidak mematuhi peraturan pergerakan.

“Tujuh yang lain tidak mengamalkan penjarakkan sosial, tiga melanggar peraturan pergerakan masuk dan keluar di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seorang pemilik premis beroperasi lebih masa tanpa kebenaran dan lima membabitkan lain-lain kesalahan,” katanya.

Tambahnya Pihak Berkuasa Tempatan turut mengeluarkan tujuh kompaun membabitkan pelbagai kesalahan iaitu tiga kesalahan tidak memakai pelitup muka iaitu dua di Kinabatangan dan satu Keningau.

“Seorang individu di Telupid turut dikompaun selepas gagal melakukan penjarakan fizikal dan dua lagi dikompaun selepas masing-masing gagal melakukan imbasan suhu sebelum memasuki premis serta merekod butiran di Keningau dan Kudat.

“Satu lagi kompaun untuk lain-lain kesalahan masing- masing di Telupid, Kudat dan Kota Kinabalu,” katanya.

Dalam pada itu katanya Sabah merekodkan penurunan sebanyak 28 kes iaitu daripada 287 kes kepada 259 kes hari ini.

“Daripada 259 kes baharu, 154 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 47 kes adalah saringan kluster, 37 kes saringan bergejala, empat kes daripada saringan bersasar dan 17 kes adalah daripada lain-lain kes.

“Dua kes kematian direkodkan hari ini iaitu satu kes di Tawau dan satu lagi di ibu negeri,” katanya.

Sementara itu terdapat dua kluster baharu hari ini iaitu Kluster Gambaron di Telupid, Sandakan iaitu kluster tempat kerja yang mencatat dua kes positif baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 12 kes. 

“Kluster indeks adalah lelaki berumur 32 tahun  yang bergejala demam, batuk dan sesak nafas sejak 26 Mei lalu sebelum disahkan positif di Klinik Kesihatan Telupid 02 Jun lalu. 

“Saringan susulan mendapati lapan kes di tempat kerja serta sekitar Telupid dan satu lagi kes di Sandakan. Berdasarkan siasatan, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri perjumpaan sosial bersama kontak pada 22 Mei lalu di sebuah kafe di Telupid. 

“Selain itu, penularan kes juga disumbang oleh beberapa rakan sekerja kes indeks yang pulang ke kawasan berisiko tinggi di Tawau untuk menyambut Aidilfitri pada 07 hingga 16 Mei lalu. Setakat ini, 136 individu sudah disaring dan aktiviti saringan serta siasatan punca jangkitan masih lagi diteruskan,” katanya.

Menurutnya kluster kedua adalah Kluster Kampung Blok 31 di Tawau yang berpunca dari aktiviti kunjung-mengunjung semasa sambutan Hari Raya. 

“Kluster ini mula direkodkan apabila kluster indeks iaitu suri rumah berumur 71 tahun disahkan positif COVID-19 melalui saringan Brought In Dead (BID) di Hospital Tawau pada 27 Mei lalu.

“Susulan itu, saringan kontak rapat mendapati tiga lagi kes positif pada 30 Mei dan 21 kes baharu dikesan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 31 kes. Aktiviti pengesanan kontak dan mengenalpasti punca jangkitan juga sedang giat dijalankan,” katanya.

Tambahnya tiga lokaliti juga dikenakan PKPD bermula esok sehingga 20 Jun iaitu Apartment Taman Permata Sandakan, Felda Umas 4 Kalabakan, tiga perkampungan di Tawau termasuk Kampung Blok 31, Kampung Sentosa Blok 5 Hilltop serta Kampung Bukit Kukusan Tanjung Batu. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *