Laksana PKP Menyeluruh Sebelum Aidilfitri – Pakar

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu bertindak segera dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh berikutan kadar peningkatan jangkitan COVID-19 negara ketika ini antara yang terpantas di dunia.

Pakar virologi Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata PKP perlu dikuatkuasakan menjelang sambutan Aidilfitri kerana dijangkakan kes harian boleh meningkat melebihi 5,000 dalam masa terdekat.

“Kadar peningkatan kes kita sebenarnya sudah melebihi India yang jumlah penduduknya adalah 1 bilion, sementara populasi di Malaysia sekadar 32 juta.

“Kadar kes dalam negara naik mendadak, dan sekarang negara berada dalam fasa kritikal,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Sebanyak 4,519 kes positif baharu COVID-19 direkodkan semalam, manakala 3,733 kes hari ini menjadikan jumlah kes kumulatif meningkat kepada 440,677 setakat tengah hari tadi.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), berkata memandangkan kerajaan berdepan kesukaran untuk memastikan rakyat kekal berdisiplin dan mematuhi SOP khususnya menjelang sambutan Aidilfitri, langkah melaksanakan PKP adalah jalan akhir bagi mengekang pertambahan kes.

“Agak sukar untuk memastikan rakyat patuh SOP pada hari raya nanti, pasti ada yang saling berkunjung, bersalaman dan membuka pelitup muka ketika datang ke rumah saudara mara.

“Jadi, satu-satunya jalan yang ada adalah laksanakan PKP secara menyeluruh termasuk tutup kegiatan ekonomi sekurang-kurangnya dalam tempoh 21 hari bagi mengehadkan pergerakan rakyat,” katanya.

Sazaly berkata, sekiranya kes melebihi 5,000, sistem kesihatan berisiko untuk lumpuh dan jumlah kematian tentu akan meningkat.

“Kadar pesakit kritikal di hospital buat masa ini adalah tinggi dan realitinya, kita sudah masuk ke fasa terpaksa menggunakan ventilator, ini bermakna lebih kurang 50 peratus pesakit yang menggunakan alat bantuan pernafasan tidak akan pulih.

“Sekarang kita ada sekitar 300 pesakit di hospital yang menggunakan ventilator, jadi separuh daripadanya berdepan risiko kematian,” katanya.

Tambahnya, sudah tiba masanya Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan kematian pesakit akibat COVID-19 kerana antara satu cara meyakinkan masyarakat bahawa angka yang dilaporkan setiap hari adalah benar.

“Jika di Amerika Syarikat, kerajaan memaparkan gambar individu yang terkorban akibat COVID-19, siapa mereka, pekerjaan dan sumbangan kepada negara.

“Daripada situ, rakyat menjadi lebih sensitif dan peka bahawa wabak ini benar-benar serius dan menyedarkan bahawa maklumat KKM mengenai angka harian COVID-19 adalah benar,” katanya.

Beliau berkata, strategi KKM sebelum ini yang menyasarkan untuk melandaikan lengkuk COVID-19 sudah tidak relevan dengan gelombang jangkitan yang luar biasa.

“Jika kita sekadar melandaikan lengkuk jangkitan, maknanya rakyat akan hadapi lagi situasi membimbangkan pada masa akan datang.

“Keadaan lebih sukar sekarang kerana individu yang dijangkiti menunjukkan gejala lebih cepat iaitu seawal hari ketiga.

“Ini bermakna virus membiak dengan lebih cepat dan dalam tempoh ini, penularan lebih senang berlaku kerana kebanyakannya tidak ada simptom atau bergejala rendah,” katanya.

Beliau turut menyarankan kerajaan menjadikan negara yang berjaya mengawal penularan COVID-19 melalui pendekatan perintah berkurung sepenuhnya sebagai contoh terbaik.

Katanya, China, Australia, New Zealand dan Taiwan mengenakan peraturan yang ketat dalam tempoh perintah berkurung sehingga berjaya menurunkan kadar jangkitan sehingga ekonomi dan kegiatan sosial rakyat kembali berjalan seperti biasa. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *