Aki Nabalu Tidak Semeriah Dulu, Pendapatan Malim Gunung Terjejas

Jumlah pendaki Gunung Kinabalu dalam sehari kini hanya sekitar 20 hingga 60 orang ratusan orang sebelum ini.

KOTA KINABALU: Sebelum pandemik Covid-19 melanda negara awal tahun lalu, laluan menuju ke puncak Gunung Kinabalu sibuk dengan kehadiran ratusan pendaki hampir setiap hari.

Keadaan itu juga memberikan limpahan rezeki buat malim gunung yang berkhidmat memimpin para pendaki, sama ada dari dalam mahupun luar negeri.

Bagaimanapun, segalanya berubah selepas pandemik kerana malim gunung bukan sahaja hilang mata pencarian berikutan ketiadaan pendaki, malah, gunung yang popular dengan panggilan Aki Nabalu itu juga sunyi sepi selama berbulan-bulan.

Pada 5 Mac lalu, pintu pendakian Gunung Kinabalu kembali dibuka, namun tidaklah semeriah sebelum ini kerana jumlah pendaki agak kurang.

Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu (Pemangkina), Danson Bulangai berkata, sebelum pandemik dan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, jumlah malim gunung yang bertugas pada setiap hari ialah sekitar 40 hingga 50 orang.

Bagaimanapun katanya, sejak pintu pendakian mula dibuka bulan lalu, jumlah malim gunung yang bertugas hanya sekitar 13 hingga 20 orang sahaja.

Laluan mencabar Gunung Kinabalu pastinya dirindui ramai.

”Terdapat 289 malim gunung berlesen di Gunung Kinabalu, tetapi bukan semuanya dapat bertugas kerana jumlah pendaki buat masa ini terlalu sedikit.

”Apa yang kami lakukan ialah membuat jadual tugasan agar semua malim gunung berpeluang mendapatkan bayaran,” katanya

Katanya, malim gunung akan dibayar terus RM230 untuk setiap dua perjalanan dengan RM13 daripada jumlah itu dipotong untuk tabung persatuan.

Tambahnya, beliau berharap keadaan pulih seperti biasa kerana malim memerlukan pendapatan untuk menampung kehidupan mereka, selain tidak mahu hanya mengharap bantuan kerajaan.

”Kami memang bersyukur keprihatinan kerajaan terhadap malim gunung dan kami pun ada menerima bantuan beberapa kali.

“Bagaimanapun, sampai bila kita hanya bergantung kepada bantuan sahaja. Bantuan itu juga bukan boleh bertahan lama.

Yassin Miki.

”Mudah-mudahan dengan kehadiran vaksin Covid-19 yang mula dilaksanakan akan mempercepatkan lagi pemulihan aktiviti pelancongan, termasuk juga di Gunung Kinabalu kerana kami rindu dengan kemeriahan seperti dulu,” katanya.

Sementara itu, pengurus Taman Kinabalu, Yassin Miki berkata, walaupun jumlah pendaki mencecah 1,000 orang sejak gunung berkenaan dibuka pada 5 Mac lalu, jumlah berkenaan masih agak rendah.

Katanya, sebelum pandemik, jumlah pendaki kira-kira 150 orang pada setiap hari.

”Bagaimanapun, jumlah itu menurun lebih separuh, hanya sekitar 20 hingga 50 pendaki sehari dan paling ramai dalam sehari kalau saya tidak silap hanya 70 orang.

Danson (kiri) bersama pendaki dari luar negara ketika gunung tertinggi Asia Tenggara itu masih meriah.

”Keadaan ini mungkin disebabkan oleh larangan rentas daerah dan rata-rata pendaki ketika ini ialah dari zon satu yang dibenarkan (rentas daerah) iaitu dari Papar, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud dan Ranau,” katanya.

Yassin berkata, setiap pendaki juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, selain SOP biasa seperti di pusat pelancongan lain, setiap pendaki juga perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan menakluki puncak tertinggi Asia Tenggara itu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *