Imam Kariah, Pelajar Universiti Johan Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sabah

Mohd Ayub dan Nadirah Syazwani muncul johan qari dan qariah pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah semalam.- Gambar NSTP/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Imam kariah, Mohd Ayub Maidi, 33, dan pelajar universiti, Nadirah Syazwani Sapari, 22, dinobatkan johan qari dan qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sabah, di sini, semalam.

Mohd Ayub yang juga imam kariah dari Semporna ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana persediaan yang dilakukannya sejak beberapa bulan lalu membuahkan hasil.

Katanya, setiap hari dia akan melakukan latihan selepas waktu Subuh antara tempoh 10 hingga 15 minit dan waktu latihan lebih panjang pula selepas solat Maghrib sehingga masuk waktu solat Isyak.

“Keadaan norma baharu sekarang sedikit sebanyak memberi kesan positif kepada saya kerana kehadiran penonton yang kurang, jadi saya dan peserta lain lebih fokus kepada persembahan.

“Pada masa sama, saya juga gembira kerana walaupun

Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat negeri ini disiarkan secara langsung di laman media sosial, jumlah ‘view’ amat tinggi,” katanya.

Nadirah Syazwani yang juga pelajar Universiti Islam Sains Malaysia (USIM) pula berkata, sebelum ini dia tidak pernah menang dalam sebarang pertandingan tilawah al-Quran yang disertai.

“Ini adalah kemenangan pertama saya selepas menyertai empat pertandingan tilawah sebelum ini.

“Sebenarnya pada tahun ini saya bercadang untuk berehat kerana hampir putus asa, tetapi rakan-rakan tetap menyuruh saya menyertainya (pertandingan) dan alhamdulillah tidak menyangka ada rezeki untuk saya,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Wisma Muis di sini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor dan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Sementara itu, Mohd Arifin berkata, majoriti besar peserta dalam pertandingan kali ini terdiri daripada generasi muda.

“Sebahagian besar qari dan qariah yang menyertai pertandingan adalah dalam kalangan generasi muda dan golongan ini lahir atas usaha generasi sebelum mereka.

“Kita berharap objektif yang kita sasarkan dapat dicapai dalam menyuburkan kecintaan dan penghayatan terhadap kitab suci al-Quran melalui budaya ilmu, pendidikan dan penyelidikan,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *