Mohon Benarkan Pelanggan Makan Di Premis

Gambar Hiasan

Peniaga restoran, kedai makan dan kenderaan saji merayu supaya kerajaan memberi pertimbangan untuk membenarkan pelanggan makan di premis.

Rayuan sama turut disuarakan pengusaha kedai pakaian dan butik yang terkesan teruk susulan penularan Covid-19.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata, jika pelanggan dibenarkan makan di restoran, ia bukan sahaja memanfaatkan pengusaha premis malah secara tidak langsung membantu pekerja lain seperti pencuci pinggan, pelayan dan pembantu kedai makan serta rantaiannya seperti pembekal barangan juga makanan.

“Begitu juga dengan kedai pakaian dan butik, ramai pengusaha berhadapan situasi gulung tikar disebabkan tidak dibenarkan beroperasi, sedangkan musim perayaan seperti sambutan Tahun Baru Cina dan Aidilfitri adalah masa terbaik untuk pengusaha kedai pakaian dan butik menjana pendapatan.

“Golongan peniaga ini sanggup mengikut prosedur operasi standard (SOP) walaupun ketat asalkan dibenar beroperasi,” katanya kepada media ketika meninjau operasi kedai runcit bergerak Prihatin Mart di Dataran Kampung Langgar di sini, hari ini.

Menurut beliau, perkara itu perlu dikaji semula dan pihaknya akan membuat pertemuan dengan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menyuarakan rintihan golongan peniaga terbabit dalam masa terdekat.

Sebelum ini, kerajaan membenarkan kedai makan, restoran dan khidmat penghantaran makanan untuk beroperasi sehingga jam 10 malam bermula 22 Januari lalu.

Bagaimanapun, aktiviti makan di kedai masih tidak dibenarkan dan hanya pembungkusan, penghantaran dan pandu lalu sahaja yang dibenarkan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost