JKR Sabah Mula Kerja Pembaikan Jalan Dan Jambatan Runtuh

 Ali Ahmad bersama rombongan ketika meninjau keadaan jambatan di Sungai Paparoun Telaga yang runtuh disebabkan banjir.

PITAS : Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan memulakan kerja-kerja pembaikan jalan yang runtuh termasuk  jambatan di Sungai Paparoun Telaga Pitas ekoran kesan dari banjir  besar yang berlaku di daerah itu minggu lepas.

Pengarahnya Ir Ali Ahmad Hamid berkata, kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan sesuai dengan keperluan arahan Perbendaharaan AP 55 di bawah peruntukan kecemasan bagi memastikan penduduk kampung yang terjejas dapat berhubung dengan segera.

“Pihak jabatan termasuk jurutera daerah telah pun melakukan lawatan susulan bagi meneliti segala kerosakan yang dialami dan turut menyediakan laporan lengkap dan kita akan membuat anggaran kos perbelanjaan untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan dalam tempoh terdekat ini,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan bagi meninjau jalan dan jambatan yang runtuh di sungai Paparoun Telaga Pitas pada Khamis.

Turut serta dalam lawatan tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka yang juga Pembantu Menteri Pembanguan Luar Bandar Harun Durabi, jurutera daerah Pitas Dixon Kim, jurutera daerah baharu Pitas Hadi Hamzah dan Ketua Penolong Pengarah (KPP) bahagian Jambatan JKR Baharohom KK Sugun dan jurutera bahagian Kudat Hilmi Hamid.

Menurut Ali Ahmad, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin telah dimaklumkan dan diberikan laporan terperinci berhubung mengenai kejadian tersebut dan meminta jabatan mengambil tindakan segera untuk membaiki segala kerosakan bagi membolehkan rakyat yang terjejas dapat berhubung semula untuk melakukan aktiviti mereka seharian.

Antara jalan yang terputus dalam kejadian banjir tersebut ialah Jalan Suang Duyung-Layak (KM 0.25) dan di KM 4.25) iaitu kira kira 50 KM dari Pekan Pitas dan beberapa tempat lain.

Ekoran hujan lebat yang berterusan minggu lalu menyebabkan banjir di beberapa buah daerah di Sabah antaranya Kudat, Membakut, Beaufort dan daerah Pitas merupakan daerah yang amat terkesan dengan kejadian tanah runtuh termasuk sebatang jambatan di Sungai Paparoun Telaga yang menjadi nadi perhubungan utama kampung Telaga untuk ke Pekan Pitas dan lain-lain kampung berhampiran dihanyutkan banjir.

Sebanyak 13 buah kampung yang melibatkan lebih kurang 4,000 orang penduduk termasuk sebuah Klinik Kesihatan di Kampung Telaga dan sekitarnya itu kira kira 18 kilometar ke Pekan Pitas terputus perhubungan apabila jambatan runtuh dihanyutkan banjir.

Sementara itu Ali Ahmad berkata , bagi jalan jalan raya yang runtuh ekoran tanah bukit yang meluncur, kerja-kerja pembersihan dan penyelengaraan sedang giat dijalan oleh pihak JKR termasuk jalan-jalan di bawah jagaan kontraktor atau syarikat yang mendapat konsesi penyelanggaran jalan.

Dalam perkembangan lain Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Pitas turut mengambil insistiaf untuk menghantar bantuan makanan kepada pendududk yang terjejas khususnya di Kampung Telaga dan sekitarnya yang terputus hubungan untuk mendapatkan bekalan makanan.

Pengerusinya yang juga Pegawai Daerah Pitas Bakri Nanun ketika dihubungi berkata  penghantaran bantuan makanan dihantar pada Jumaat dengan menggunakan perkhidmatan udara, helikopter milik Polis Di Raja Malaysia kontijen Sabah.

“Dengan kerjasama pihak polis kita akan menghantar bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas dengan menggunakan perkhidamatan udara (helikopter) dan kita berharap keadaan cuaca mengizinkanya,” katanya.

Sebanyak empat tempat akan digunakan sebagai lokasi pendarat iaitu padang SK Liau, SK Malubang, SMK Telaga dan SK Maringgan. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *