Polis KK Tahan 7 Individu Tipu Pinjaman Tidak Wujud

Habibi menunjukkan laman web yang perlu dirujuk untuk pengesahan akaun diberikan sindiket. Gambar Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Lima lelaki dan dua wanita yang terbabit dalam aktiviti penipuan pinjaman tidak wujud menerusi Facebook (FB) berjaya ditahan polis, kelmarin.

Semua tujuh individu berusia 20 hingga 50-an itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi membantu siasatan membabitkan kerugian RM48,769.74.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, semua tujuh individu berkenaan adalah pemilik akaun yang terbabit secara langsung dengan kes penipuan menerusi FB.

Katanya, hasil siasatan mendapati, modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan adalah mengenakan syarat kepada mangsa untuk menyerahkan kad ATM dan butiran akaun bank untuk mendapatkan pinjaman.

“Sindiket akan mengarahkan mangsa supaya mengirimkan kad ATM dan butiran akaun ke alamat diberikan menggunakan perkhidmatan kurier.

“Dalam kes ini, salah seorang suspek yang ditahan turut mengaku dijanjikan komisen bagi mendapatkan pemilik akaun lain untuk dijadikan sebagai akaun transit jenayah penipuan,” katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Habibi berkata, pihaknya percaya penangkapan tujuh individu itu berjaya menyelesaikan empat kes yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Habibi berkata, sepanjang tahun ini, IPD Kota Kinabalu menerima sebanyak 346 laporan kes penipuan siber membabitkan kerugian RM12.34 juta sepanjang tahun ini.

Katanya, hasil kecekapan polis dalam menjalankan siasatan, IPD Kota Kinabalu berjaya menahan seramai 88 individu dan semuanya sudah dihadapkan ke Mahkamah.

“Antara kes yang terbabit adalah 78 kes penipuan pembelian online membabitkan kerugian RM652,246.27 dan 121 kertas siasatan kes Macau Scam membabitkan kerugian RM4.73 juta.

“Selain itu, polis turut menerima 49 laporan kes parcel scam membabitkan kerugian RM5.40 juta serta 98 kes pinjaman tidak wujud membabitkan kerugian RM1.181 juta,” katanya.

Sehubungan itu, Habibi menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati terutamanya ketika menggunakan kemudahan media sosial bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Sementara itu, menurutnya, kes jenayah indeks di Kota Kinabalu menunjukkan penurunan sebanyak 18.68 peratus.

“Kadar jenayah indeks di IPD Kota Kinabalu dalam tempoh Januari hingga semalam sebanyak 1,001 kes berbanding 2019 sebanyak 1,231 kes. Penurunan jenayah sebanyak 230 kes iaitu bersamaan 18.68 peratus.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha keras semua bahagian IPD Kota Kinabalu dalam pencegahan jenayah dengan dibantu oleh masyarakat di daerah ini dalam pencegahan jenayah,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2953