Kerajaan GRS Terus Perjuangkan Hak Sabah Dalam MA63

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus mempertingkatkan usaha memperjuangkan hak-hak negeri Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perjuangan hak-hak Sabah itu akan dilakukan melalui Majlis Khas MA63 yang telah ditubuhkan pada 2 Dis oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata demikian semasa ucapan penggulungan Jabatan Ketua Menteri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau berkata, Majlis Khas MA63 itu akan dianggotai oleh Ketua Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Peguam Besar Negeri.

Katanya, Majlis Khas itu akan menguruskan hal berkaitan perlembagaan dan status sama rata, keselamatan dan pendatang asing serta sosial ekonomi, termasuk pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Menurutnya, salah satu jawatankuasa di bawah Majlis Khas itu addalah Jawatankuasa Kerja Keselamatan. Jawatankuasa ini akan membincangkan isu-isu berkaitan tuntutan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak berhubung isu keselamatan negeri khususnya isu pekerja asing dan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan kepentingan dan keselamatan negeri Sabah dalam menangani isu PATI di negeri ini.

“Apa juga keputusan mengenai PATI, ia sudah tentulah mengambil kira sentimen rakyat keseluruhannya di Sabah,” ujarnya.

Menyentuh mengenai isu tanah, dibawah RMKe-12, kerajaan negeri juga telah meluluskan satu program baru iaitu ‘Program Pengukuran Tanah Hak Adat Negeri (NCR)’ dengan siling peruntukan RM 2.5 juta yang akan dilaksanakan melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) sebagai tambahan kepada peruntukan Program PANTAS dari kerajaan persekutuan.

Dalam masa sama, kerajaan negeri juga meneruskan Program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) di beberapa daerah yang dikenal pasti di Sabah termasuk Tungku dan Kota Belud. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *