Keluarkan Tanah Penduduk Daripada Konsesi Sabah Forest Industries Sdn Bhd

Hajiji (kanan) berbincang dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menetapkan syarat memastikan syarikat yang bakal mengambil alih Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) mengeluarkan tanah berpenduduk yang berada dalam kawasan konsesinya.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata, syarat itu perlu dipatuhi sebelum kerajaan negeri bersetuju dengan pengambilalihan syarikat baharu untuk mengurus operasi kilang kertas dan pulpa serta kawasan konsesi perhutanan milik SFI.

Menurut beliau, syarat itu ditetapkan selepas kerajaan negeri mendapat maklumat mengenai pertikaian yang timbul di antara penduduk kampung di Sipitang, Tenom dan daerah kecil Kemabong dengan SFI berikutan kedudukan tanah mereka dalam kawasan konsesi syarikat itu.

“Isu di sini ialah berkaitan dengan penempatan penduduk kampung dalam kawasan tanah konsesi SFI. Perkara ini sudah sampai ke pengetahuan kerajaan negeri dan kita akan mengkajinya.

“Satu jawatankuasa sudah dibentuk untuk melaksanakan kajian itu dan jika didapati penduduk sudah lama tinggal di situ, kita akan pastikan atau tetapkan syarat supaya penempatan ini dibenarkan keluar (dari kawasan konsesi) menjadi kawasan kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Jabatan Ketua Menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Hajiji menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin, Sipitang Datuk Dr Yusof Yacob (Warisan) dan Adun Kemabong Datuk Rubin Balang (Bebas) berkaitan usaha mengeluarkan tanah penduduk daripada konsesi SFI.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, kerajaan negeri akan menetapkan perkara itu sebagai antara syarat perlu dipatuhi syarikat yang akan mengambil alih SFI yang kini diurus oleh syarikat likuidator.

“InsyaAllah, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan berusaha memastikan kepentingan rakyat kawasan itu yang sudah lama tinggal di sana diambil perhatian.

“Kita minta syarikat baharu yang akan mengurus SFI nanti untuk mematuhi syarat itu kerana tanah itu adalah milik syarikat (SFI), bukan tanah kerajaan,” katanya.

Semalam, ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2021, Rubin meminta kerajaan menamatkan segera pertikaian yang membabitkan penduduk 12 kampung di Kemabong, selain 14 kampung di Sipitang dan tiga lagi di Tenom.

Rubin turut meminta kerajaan negeri campur tangan untuk menamatkan isu itu. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *