Kluster Rumah Merah Antara Punca Peningkatan Kes Covid-19 Di Sabah

usat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal

KOTA KINABALU : Kluster Rumah Merah di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal antara punca jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah meningkat dua kali ganda hari ini kepada 532 kes berbanding 274 kes semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata Kluster Rumah Merah PTS Manggatal mencatatkan 150 kes, hasil saringan besar-besaran yang dilakukan di kawasan itu semalam.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata kes-kes dilaporkan positif di PTS Manggatal pada 10 Dis merupakan pengesanan daripada pemantauan berterusan dilakukan ke atas tahanan yang ditempatkan di sana. Beberapa orang tahanan telah mula menunjukkan simptom dan didapati positif COVID-19 setelah ujian pengesahan dilakukan.

“Melalui siasatan dijalankan, ia bukanlah jangkitan baharu. Mereka dikesan negatif melalui saringan pertama kerana pada masa itu mereka berkemungkinan berada dalam fasa jangkitan awal dan bilangan virus dalam tubuh adalah rendah.

“Setakat ini, seramai 1,702 tahanan telah disaring dengan menggunakan kaedah rt-PCR,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 Sabah di sini, hari ini.

Masidi berkata hasil saringan Kluster Dbajaru di Lahad Datu juga turut menyumbang kepada peningkatan kes pada hari ini dengan merekodkan 133 kes.

Dalam perkembangan berkaitan, Masidi berkata Sabah mencatatkan jumlah kumulatif pesakit COVID-19 sembuh seramai 28,923 orang, iaitu lebih separuh daripada jumlah kumulatif kes positif wabak sebanyak 32,066 yang direkodkan di negeri itu sehingga hari ini.

Beliau berkata seramai 1,805 pesakit sedang menerima rawatan iaitu masing-masing 629 orang di hospital dan 1,176 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), dengan 63 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi dan 20 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) di kedai makan, Masidi berkata kerajaan negeri masih mengekalkan SOP yang dikuatkuasakan di setiap restoran dan kedai makan iaitu mengikut size meja selain perlu mengamalkan pematuhan penjarakan fizikal seperti ditetapkan sebelum ini.

“Perkara ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bencana COVID-19 Sabah pada hari ini. Mesyuarat memutuskan bahawa Sabah masih mengguna pakai SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuat kuasa sehingga 20 Dis,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata kerajaan negeri telah mengagihkan 293,718 bakul makanan kepada golongan sasar di semua 27 daerah, setakat ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *