25 Ahli Parlimen Fail Usul Tak Percaya Pada Muhyiddin

PETALING JAYA: Seramai 25 ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin seperti disenaraikan dalam Kertas Perintah.

Usul itu dikemukakan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng (DAP), Ahli Parlimen Tawau yang juga ketua PKR Sabah, Christina Liew, 11 ahli Parlimen Amanah, 7 dari Warisan dan 5 dari Pejuang.

Terdapat juga 2 usul percaya terhadap Muhyiddin yang dikemukakan Ahli Parlimen Pasir Putih, Nik Muhammad Zawawi Salleh dari PAS dan Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim dari Barisan Nasional.

Kertas Perintah yang dilihat itu menunjukkan 62 usul dikemukakan ahli Parlimen pembangkang dan penyokong kerajaan.

Pada Mei dan Julai lalu, bekas perdana menteri dan Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, tetapi ia tidak dibahaskan.

Sokongan diperolehi Muhyiddin dipersoalkan sekali lagi, selepas ketua pembangkang, Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong 13 Okt lalu bagi menunjukkan beliau mempunyai “majoriti meyakinkan” untuk menjadi perdana menteri berikutnya.

Istana Negara berkata, Anwar tidak mengemukakan senarai nama ahli Parlimen yang menyokongnya untuk mengukuhkan dakwaannya dan Agong menasihatkan presiden PKR itu “akur dan menghormati proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan”.

Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham dilaporkan berkata, usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin perlu diutamakan dan menjadi perkara pertama dalam agenda Dewan Rakyat yang akan bersidang semula 2 Nov ini.

Bekas speaker Dewan Undangan Negeri Perak itu berkata, tiada faedah wakil rakyat membincangkan perkara lain, jika kerajaan sedia ada tidak dapat bertahan lagi.

Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun dilaporkan berlata, usul undi tidak percaya tidak boleh dibahaskan tanpa persetujuan seorang menteri.

Peraturan 15(1) dan (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan urusan kerajaan hendaklah didahulukan berbanding urusan lain dan diatur mengikut pertimbangan kerajaan.

Peguam perlembagaan berkata, Parlimen tidak boleh tunduk kepada eksekutif kerana sistem demokrasi di bawah Perlembagaan Persekutuan mengkehendaki eksekutif bertanggungjawab kepada badan perundangan.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *